Gambar atas: Para calon penguatan berlutut semasa penumpangan tangan Uskup dan paderi memohon kedatangan Roh Kudus.
Gambar bawah: Pengurapan krisma dijalankan oleh paderi paroki Fr Paul Lo dan pembantu Fr Russel Lawrine.
Oleh Catherine Wan (Terjemahan oleh Neil Mah)
Nov 24 2020
KOTA KINABALU – Dengan kelonggaran PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) baru-baru ini, dan atas nasihat Ketua Keuskupan Agung, paderi dan paroki didorong untuk membuka Misa umum dan mempersiapkan para calon mereka untuk menerima sakramen Komuni Suci Pertama dan Penguatan.
Kebenaran dari pihak berkuasa untuk membenarkan pembukaan semula tempat ibadat bukan-Islam bertepatan dengan rancangan paroki Katedral Hati Kudus untuk mengadakan Penguatan pada Hari Raya Kristus Raja semasa lawatan pastoral Uskup Agung John Wong. Sejak penularan pandemik sejak bulan Mac, tiada kepastian kukuh mengenai acara tersebut.
Dengan ketentuan Tuhan, Penguatan 2020 dilaksanakan dengan lancar pada 21 November untuk para calon berbahasa Inggeris dan 22 Nov untuk para calon berbahasa Cina dan BM. Acara ini merupakan kegembiraan tiga-dalam-satu bagi paroki kerana pada hari itu juga merupakan ulang tahun dedikasi Katedral yang ke-39.
Semasa homili, prelatus itu mencabar para penerima sakramen Penguatan, yang kebanyakannya berusia 16 tahun, dengan pertanyaan: Adakah Yesus Rajamu? Dia menjelaskan bahawa jika Yesus diwartakan sebagai Raja dalam hidup kita, kita akan dipimpin ke dimensi kehidupan yang baru, kehidupan yang ditujukan kepada karya amal, iaitu menuju orang miskin dan yang kurang bernasib baik. Dia selanjutnya menjelaskan tentang pentingnya menerima Penguatan, yakni menerima kepenuhan Roh Kudus, yang akan membimbing mereka seterusnya menjadi tentera Kristus.
Sebagai askar Kristus, seseorang harus mengenal pasti musuh di sepanjang perjalanan hidup kita untuk mempertahankan iman seseorang. Prelatus itu menunjukkan tiga musuh utama, iaitu diri (daging), dunia dan Setan.
“Kita perlu dibimbing oleh Roh Kudus untuk melakukan kehendak Tuhan daripada mendengarkan bisikan Setan untuk melakukan kehendaknya,” kata Uskup Agung. Dia mendorong mereka untuk membenarkan Yesus menggembalakan hidup mereka sambil mereka berusaha untuk menjadi saksi kasihNya.
Tahun ini, sejumlah 232 penerima penguatan yang terdiri daripada 110 penerima berbahasa Inggeris, 32 penerima berbahasa Cina dan 90 penerima berbahasa BM. Oleh kerana syarat SOP, kehadiran di Misa terhad hanya kepada para calon, penanggung, ibu bapa, beberapa ahli koir dan pelayan komuni tak lazim, tidak melebihi 330 orang. Masing-masing Misa ini juga ditayangkan secara maya supaya umat paroki dapat menyertai dari rumah.
Pada awal minggu, semua calon diminta untuk membuat Pengakuan sebagai persiapan.
Fr Sunny Chung, kiri dan Fr Joshua Liew, kanan menyediakan calon-calon penguatan melalui sakramen rekonsiliasi pada 15 Nov 2020, seminggu sebelum penerimaan Krisma.
Di akhir Misa, paderi paroki Fr Paul Lo menggesa para penerima penguatan agar lebih memberi diri kepada orang lain ketika mereka memasuki alam dewasa dalam kehidupan Kristiani mereka. Sementara itu, prelatus juga meminta kaum muda untuk menjadi sukarelawan untuk pelbagai pelayanan gereja atau menyertai komuniti gereja untuk meneruskan pertumbuhan iman mereka secara berterusan.
Sebelum bersurai, pengambilan gambar diatur untuk para calon di bawah SOP ketat, sambil memastikan protokol agar tidak mengadakan jamuan bersama selepas itu atas sebab-sebab keselamatan.