By Nelson Fernandez

Apr 23 2022

DONTOZIDON – “Perjalanan anda bermula pada hari ini” itulah yang di sampaikan oleh Fr Isidore selepas saja Misa Kudus Malam Paska selesai di Gereja St Paul. Kata-kata itu ditujukan kepada seramai 23 baptisan baru yang selesai melengkapkan upacara perjalanan iman mereka yang di terima masuk sebagai keluarga Katolik melalui Inisiasi Kristian Dewasa (IKD).

Kehadiran ibubapa, penanggung dan umat menjadi saksi kepada para calon yang dibaptis pada Malam Paska itu. Upacara pembaptisan tersebut diadakan di gereja secara berasingan yang mana Gereja St Paul Dontozidon menerima 10 calon, Our Lady Queen of Peace Kobusak menerima 12 calon manakala St John The Baptist Kopungit hanya menerima seorang calon. Ini kerana pihak Gereja masih lagi mematuhi dan mengikut SOP yang sedia ada. Walaupun upacara ini dilakukan secara berasingan namun ianya dijalankan sama seperti  biasa.

Pembaptisan baru

Daripada 23 baptisan itu, 19 daripada mereka telah menerima sakramen penuh, empat daripada mereka menerima Sakramen Permandian dan Penyambutan.

Dalam homili Fr Isidore, beliau bertanya kepada para calon “apakah diri kamu benar-benar sudah bersedia untuk dibaptis, apakah kamu terfikir kamu harus dibaptis kerana Gereja yang memaksa kamu?”

“Gereja Katolik tidak pernah memaksa kamu untuk masuk ke dalam Gereja Katolik untuk dibaptis tanpa iman. Syarat pertama untuk menerima sakramen-sakramen Gereja adalah iman sebab tanpa iman kamu tidak ada pengalaman sakramen,” kata Fr Isidore.

Selepas upacara pembaptisan itu, semua baptisan baru di bawa masuk berarak ke dalam Gereja dengan diiringi Lilin Paska dan lagu “Jadilah Saksi Kristus”. Dengan mengenakan pakaian berwarna putih, mereka kelihatan sangat gembira.