Banjir di Kg Dabak berdekatan dengan Sekolah Menengah St Michael Penampang | Foto Roy Goh

By Lily Akau

July 6 2020

BANJIR adalah masalah utama apabila hujan turun berlarutan di Penampang. Apakah perasaan mereka yang menjadi mangsa banjir?

Saya adalah antara mereka yang banyak kali mengalami banjir akibat limpahan Sungai Moyog disebabkan hujan berterusan. Sememangnya hati sangat kecewa bercampur marah apabila melihat benda-benda dan tanaman kesayangan itu musnah di depan mata namun tidak sekali menyalahkan sesiapa oleh kerana banjir adalah musibah semulajadi.

Saya tinggal di perantaraan Sungai Moyog dan Sekolah St Michael. Setiap kali banjir melanda, rumah yang kami tinggal tidak terkecuali daripada limpahan air itu, namun demi anak cucu yang masih bersekolah, hati ini tetap kuat dan tidak patah semangat menghadapi masalah banjir. Setiap kali hujan turun, kami kena berjaga-jaga untuk menyelamatkan barang-barang di rumah agar tidak terkena air.

Terkenang pula pada banjir tahun 1999. Ketika itu anak-anak saya masih kecil. Banjir melanda seperti kilat di waktu malam ketika kami sedang tidur. Sedar dari tidur, air sudah di paras pinggang di bawah rumah kami. Kami tidak sempat menyelamatkan barang-barang di dalam rumah.

Saya mendengar kereta polis berlalu sambil menggunakan pembesar suara mengarahkan penduduk kampung di sekitar St Michael untuk berpindah di tempat yang tinggi.

Dalam separuh bingung, saya terus membawa kedua anak saya keluar daripada rumah menuju ke bukit di St Michael tanpa sempat membawa makanan dan pakaian. Kami harungi banjir deras pada saat itu yang ketinggiannya di paras dada.  Kami bermalam di dewan gereja dengan pakaian basah, lapar dan penat serta kesejukan.

Keesokannya, sebuah helikopter datang melabuh di bukit itu untuk menghantar makanan ringan kepada lebih 100 orang mangsa banjir yang berpindah di situ.

Bagi kedua anak saya yang belum pernah melihat helikopter dengan jarak dekat, mereka berlari-lari kegirangan seakan-akan hilang perasaan lapar apabila melihat helikopter itu berada di depan mata.

Hampir setiap tahun Penampang mengalami bencana banjir. Pengalaman demi pengalaman itu, memberi ketetapan diri di mana banjir pada 28 Jun lalu dirasakan sudah biasa. Sebelum air naik, saya telah mengalihkan kereta saya di tempat yang selamat. Masa selebihnya sebelum air memasuki rumah kami, saya menyiapkan makanan untuk dibawa pergi jika keadaan tidak selamat untuk tinggal di rumah. Kami juga dengan tenang, memindahkan barang-barang rumah di tempat yang tidak terkena air.

Puji Tuhan, walaupun ada beberapa perabot yang rosak terkena air tapi kami sekeluarga semua selamat, tidak ada yang terkandas di mana-mana dan tidak mengalami apa-apa kecederaan walau air memasuki rumah kami dengan ketinggian di paras lutut.