Gambar peserta bersama Fr Stanley William Matakim selepas Misa Kudus
Oleh Nancy Ola
Oct 21 2023
KUNAK – Komiti Pelayanan Hidup Keluarga St Peter, Kunak dengan kerjasama Komisi Pelayanan Hidup Keluarga Keuskupan Sandakan dan Kementerian Pembangunan Masyarakat telah menganjurkan program Sukacita dalam Kasih Keluarga pada 16-17 Sept 2023.
Program ini melibatkan Paroki St Dominic Lahad Datu dan empat luar stasi yang lain iaitu St Peter Kunak, St Angeline Madai, Divine Mercy Sapang dan St Joseph Baturong.
Seramai 161 orang peserta yang terdiri daripada ibu dan bapa, remaja dewasa, serta kanak kanak menyertai program yang diadakan selama dua hari itu.
Tujuan program Sukacita dalam Kasih Keluarga ini adalah untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa serta anak-anak tentang peranan masing – masing untuk saling menghargai dan mengeratkan hubungan dalam keluarga serta menyemai sikap saling mengasihi, menghormati serta menerapkan nilai -nilai murni dan memupuk sikap berkomunikasi dengan lebih terbuka serta sikap percaya di dalam keluarga.
Tirai Program Sukacita dalam Kasih Keluarga dibuka dengan penerangan objektif pelaksanaan program ini kepada para peserta. Eva, menyebut bahawa Program SDKK ini diilhamkan daripada buku Pope Francis, Amoris Laetitia, atau The Joy of Love. Begitu juga, ia menghidupkan matlamat ke-6 Pelan Pastoral Keuskupan Keuskupan Sandakan iaitu memupuk semangat perpaduan dan nilai kekeluargaan. Seterusnya di sambung dengan enam topik utama iaitu Komunikasi dalam Keluarga, Ketagihan substan dan gajet: kesannya kepada keluarga, Cabaran Keluargaku, Memahami Keluargaku, Keibubapaan Cemerlang, Perdamaian dan Keluarga adalah Anugerah dan Bukan Masalah.
Yang menariknya adalah para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut kategori masing-masing iaitu kumpulan ibu bapa, remaja, belia bekerja dan kanak kanak. Dengan pembahagian ini, perbincangan dan pembentangan menjadi lebih menarik kerana setiap kumpulan dapat menyuarakan pendapat dari sudut pandangan mereka.
Pembentangan turut menjadi sesuatu yang menyentuh hati para peserta terutama ibu bapa kerana satu kumpulan remaja telah membentangkan sesi ‘Komunikasi dalam Keluarga’ bahawa punca utama mereka mengalami masalah komunikasi dalam keluarga adalah mereka merasa ibu bapa mereka sering bersama gajet sehingga kurang memberi masa dan perhatian tentang apa yang mereka ceritakan.
Tidak ketinggalan, kanak kanak di bawah 10 tahun turut mempunyai aktiviti yang tersendiri seperti pertandingan mewarna, nyanyian lagu rohani dan diakhiri dengan persembahan kepada ibu bapa mereka dengan lagu ‘Kalau rasa gembira’ dan ‘Doa Bapa Kami’.
Sesi Perdamaian pada hari kedua menjadi aktiviti kemuncak setelah semua sesi diadakan. Sesi ini sangat menyentuh hati kerana semua ahli keluarga berkumpul bersama merendahkan hati untuk saling memohon maaf dan berdamai antara satu sama lain.
Sesi terakhir adalah sesi ‘Keluarga adalah Anugerah bukan Masalah’ yang disampaikan oleh Fr Stanley William Matakim. Beliau menyatakan bahawa “apabila seorang lelaki dan perempuan diberkati oleh Tuhan dalam perkahwinan mereka dikurniai anak. Melalui cinta kasih Tuhan, keluarga menjadi bahagia. Jika semuanya dari Tuhan mustahil untuk kita berkata bahawa ia ada masalah. Apa yang menjadi masalah adalah diri masing-masing atau peribadi individu itu yang menjatuhkan kebahagiaan sebuah keluarga kerana mahu cuba untuk keluar dari ajaran gereja. Ibu bapa mahupun anak anak haruslah sentiasa merendahkan hati untuk saling mengampuni tanpa batas seperti pembacaan Injil pada hari tersebut. Tiada keluarga yang sempurna tanpa masalah. Jadikan masalah itu sebagai anugerah untuk keluarga sentiasa bersatu untuk menyelesaikan masalah tersebut” kata Fr Stanley dalam homilinya.
Pada akhirnya harapan program ini dapat memperbaiki institusi semua keluarga di sini. Semoga program seperti ini lebih sering diadakan agar sentiasa dapat memperbaharui dan menyegarkan hidup berkeluarga dalam Kasih Kristus. – Dospo