SEMPENA HARI RAYA PENTEKOSTA
31 MEI 2020
Rev. Fathers, Religius Brothers dan Sisters, Seminarians, Komuniti ISKB, Katekis, Pengerusi dan ahli-ahli TPK, MPP, MPM, KWK, KBK, KKD, Komiti, Komuniti dan Saudara Saudari yang saya kasihi dalam Kristus
Saudara saudari, selamat menyambut Hari Raya Pentekosta. Hari, kedatangan Roh Kudus kepada para Rasul dan pengikut Yesus dan merupakan Hari Kelahiran Gereja.
Dengan kedatangan Roh Kudus para Rasul dan pengikut Yesus tidak lagi takut tetapi bangga bahwa mereka adalah pengikut dan murid Yesus. Roh Kudus yang datang dan menguasai mereka membuat mereka bangga dengan gaya hidup yang berpusat kepada Kristus dan menjadi identiti mereka, (KPR 2:41-47). Para Rasul dan pengikut Yesus tidak lagi takut bersaksi bagi Yesus, mala mereka begitu bersukacita dan komited dengan misi mereka dalam mewartakan bahawa Yesus yang telah mati dan bangkit adalah Jalan, Kebenaran dan Kehidupan” (Yoh. 14:6), Penyelamat manusia. Para Rasul dan pengikut Yesus bukan hanya tidak takut tetapi sanggup menghadapi dan mengalami penganiayaan dan penderitaan daripada menyangkal Yesus.
Saudara-saudari inilah semangat yang yang perlu ada pada kita yang mengakui sebagai pengikut dan murid Yesus, iaitu bangga dengan identiti Kristiani kita, komited dengan misi kita bersaksi bagi Yesus dan yakin dengan kepercayaan kepada Yesus kerana hanya melalui Dia kita akan sampai ke rumah Bapa di syurga, destinasi hidup kita (Yoh. 14:1-6).
Sebagai pengikut dan murid Yesus kita perlu memiliki dan mengikuti landasan perjalanan hidup dan iman yang boleh membantu kita bertumbuh, bersaksi dan tahan uji dalam menghadapi cabaran-cabaran iman. Sebagai umat Allah kita mempunyai wawasan yang kita ungkapkan dengan kata-kata, “Umat Allah berjalan bersama dalam kesatuan, kesetiaan dan kekudusan Yesus Kristus”.
Dalam menentukan Perancangan Pastoral 2020 – 2025 kita telah mengambil masa turun ladang ke setiap Paroki seluruh Keuskupan Keningau untuk melibatkan umat dalam perbincangan melalui katikesis, bengkel-bengkel dan persetujuan. Dengan usaha-usaha tersebut kita sudah mempunyai identiti yang patut kita banggakan dan perjuangkan melalui tugas-tugas pelayanan kita. Dengan adanya identiti, kita dapat membangkitkan semangat kesatuan antara kita umat. Dalam hal ini, kita perlu belajar dari Umat Israel, Umat pilihan Allah yang berjalan bersama melalui padang gurun selama empat puluh tahun menuju ke tanah yang dijanjikan. Kita juga perlu belajar dari gaya hidup Umat awali yang hidup bersama “sehati sefikiran” (KPR. 4:32).
Saudara saudari, Sakramen Pembaptisan yang telah kita terima adalah panggilan kita mengikuti dan mentaati Yesus serta perutusan atau misi bagi kita untuk bersaksi bagi Yesus walau apapun yang kita alami, penganiyaan dan penderitaan, kerana kepercayaan kita kepada-Nya. Memang bukan mudah tetapi Roh Kudus memampukan kita.
Kita juga perlu menyedari dan bersyukur kerana kepercayaan dan ketaatan kita kepada Yesus tidak akan sia-sia, menyedari bahawa hidup kita di dunia ini adalah perjalanan menuju ke destinasi, iaitu rumah Bapa di syurga (Yoh. 14:1-6). Oleh itu selama kita hidup di dunia ini kita perlu sentiasa waspada supaya kita tidak tertipu oleh bujukan ‘si jahat’ sehingga kita sanggup menyangkal dan meninggalkan Yesus. Kepercayaan atau iman kita kepada Yesus adalah bersifat relasi dengan Dia selama kita hidup di dunia ini dan terpenuhi diakhirat nanti. Sebab itu walau apa dan bagaimanapun bujukan ‘si jahat’ mendorong kita supaya menyangkal Yesus, janganlah sekali-kali kita layan. Kerana akibatnya diakhirat nanti kita akan tanggung sendiri apakah kita diterima atau ditolak oleh Yesus, (Mat. 10:32-33). Dalam menghadapi godaan seperti itu, panggilan Roh Kudus supaya Dia menerangkan akal budi dan memampukan kita setia kepada Yesus.
Saudara saudari pada masa Pentekosta, melalui keluarga dan KKD marilah kita baharui dan teruskan perjalanan kita bersama, bangga dengan identiti Kristiani kita, komited dengan misi kita dan yakin dengan destinasi kita dalam Yesus Kristus. Dengan kuasa Roh Kudus kita yakin kita mampu dibentuk menjadi Komuniti Umat Allah yang komited dan efektif melayani Kerajaan-Nya.
Kotobian Tadau Tagayo Kaamatan Tokou
Kaansayan Orou Mayo Manantab Takau
+Bishop Datuk Cornelius Piong
Keuskupan Keningau