Saudara saudari yang saya kasihi dalam Kristus,
Kita rakyat Sabah sedang sibuk tetapi juga berhati-hati menghadapi Pilihan Raya umum DUN Sabah pada 26 September ini. Sebagai umat Kristian Katolik kita perlu mengambil sikap ambil peduli dan prihatin terhadap keadaan politik dan masa depan Negara dan rakyat kita Sabah. Kita perlu peka dan turut serta dalam menentukan masa depan kita dan anak-anak kita dengan menjalankan tanggungjawab melalui pengundian pada 26 September ini.
Dalam masa kempen ini banyak perkara yang tidak baik boleh berlaku jika kita hanya berpandu kepada emosi dan kemampuan manusiawi kita. Memang menjadi kenyataan bahawa kita berhak menyokong dan memilih mana-mana parti politik serta calonnya. Namun sebagai umat Kristus kita perlu sentiasa waspada jangan sampai semangat kesatuan, kesetiaan dan kebahagiaan kita rosak. Kita perlu berdoa mohon Roh Kudus membimbing kita kerana Dialah yang menyatukan kita, menerangkan akal budi kita, dan memampukan kita hidup dalam harmoni walaupun mungkin kita berlainan pilihan parti politik dan calon.
Dalam masa dan suasana kempen pilihan raya ini marilah kita menjalankan tanggungjawab kita dengan mempertimbangkan kualiti calon wakil rakyat berpandukan kepada perkara-perkara berikut:
a). Sentiasa sedar akan Kehadiran Allah Pencipta bersama kita, Dialah asal dan tujuan hidup kita (Kej.1:26, Amsal 1:17).
b). Sentiasa ambil peduli dan hormat terhadap seluruh lapisan rakyat tidak kira bangsa, agama dan kaum,(Mat. 25:40).
c). Sentiasa ambil peduli dan hormat terhadap dunia ini dan alam ciptaan Tuhan tempat kediaman kita bersama, (Kej.1:31). Jika kriteria tersebut ada dan diperjuangkan oleh bakal peneraju kepimpinan Kerajaan Negeri yang akan dibentuk nanti, kita tidak akan kehilangan wawasan walaupun pancingan wang pada masa ini sangat menggoda.
Saya yakin setiap kita pengundi jika berpandu kepada tiga perkara ini akan dapat menjalankan tanggungjawab kita dengan bijaksana apabila kita mengundi. Saya juga yakin bahawa setiap calon yang mendasarkan perjuangannya kepada tiga perkara tersebut akan dapat menjalankan kepimpinan dan pelayanannya kepada rakyat dengan baik dan perlu mendapat sokongan.
Kepada kita para pemimpin umat- para Katekis, Pengerusi dan ahli-ahli MPP, KWK, Belia, Zon, KUK, KKD, Paderi dan Religius – kita perlu ingat bahawa peranan kita adalah pemersatu umat yang kita layani. Sebab itu kita dinasihatkan oleh Gereja supaya bijaksana dan tidak terang-terangan berkempen memihak kepada mana-mana calon parti politik. Para pemimpin harus bersikap neutral. Jika seseorang pemimpin umat ingin berkempen untuk mana-mana calon dan parti politik, dia perlu meletakkan jawatan pelayanannya terlebih dahulu supaya tidak membawa perpecahan kepada komuniti Umat yang dilayaninya di tempatnya.
Kita berdoa mohon penyertaan dan perlindungan Tuhan sepanjang masa kempen dan hari pengundian agar kita dijauhkan dari kuasa-kuasa kejahatan.
Selamat menjalankan kewajipan dan tanggungjawab kita bersama terhadap bangsa dan negara, undilah dengan bijaksana.
Umat Allah Berjalan Bersama dalam Kesatuan, Kesetiaan dan Kekudusan Yesus Kristus.