
Oleh Bernardine Sebastian & Alicia Dora Paul
KENINGAU – “Berehat sejenak adalah salah satu ungkapan kesyukuran kita kepada Tuhan atas penyertaanNya dalam pelayanan,” pesan Uskup Cornelius Piong kepada paderi dan kakitangan di Katedral St Francis Xavier, Keningau (KSFX) yang mengikuti program percutian singkat ke Kampung Sawangan, Kuala Penyu pada 28-29 Apr 2025.
Percutian singkat selama dua hari satu malam di rumah keluarga Uskup Cornelius Piong itu disertai oleh Monsignor Gilbert Lasius, Fr Appolonius Yakis, Fr Nakudah Kilin, Fr Bede Anthonius dan tiga orang romo dari Indonesia, Romo Anthonius Lopez, Romo Cardo dan Romo Louis. Selain itu, seramai 20 kakitangan yang berkhidmat di KSFX turut menyertai rombongan itu.
Objektif percutian singkat itu adalah untuk mengeratkan lagi hubungan dan memperkukuhkan semangat kebersamaan antara sesama kakitangan dan para paderi yang melayani di KSFX.
Konsep pengisian program sepanjang dua hari tersebut adalah bebas. Oleh kerana rumah keluarga Uskup Cornelius adalah terletak berhampiran dengan pantai, maka peserta rombongan memilih untuk menghabiskan masa dengan bersantai di Pantai Linsuk. Ada yang cuma berehat sambil menikmati keindahan alam, dan ada juga yang mengambil peluang itu untuk bermandi-manda.
Pada waktu malam pula, mereka menyediakan makan malam secara bergotong-royong diikuti sesi beramah mesra bersama keluarga Uskup Cornelius.Pada 29 Apr, mereka telah mengadakan Misa Kudus yang dipimpin oleh Uskup Cornelius sendiri. Selepas Misa, mereka bersarapan dan bertolak ke satu lagi destinasi tarikan pelancong di Kuala Penyu, Tempurung Seaside Lodge.
Menjelang tengahari, rombongan bertolak ke Rumah Retret Keuskupan Keningau Purun untuk makan tengahari. Pada jam 1.30 pm, rombongan bertolak balik ke Keningau dengan membawa pulang memori indah dan semangat bekerja yang segar.