
Oleh FB rasmi Gereja Katolik Holy Rosary Limbahau, Papar (Disunting oleh ADP Catholic Sabah)
PAPAR – Suasana penuh keceriaan, keakraban dan semangat kekeluargaan menyelubungi Pasakon Beach Campsite, Beringgis apabila lebih 500 umat Katolik yang terdiri daripada ibu bapa, belia dan kanak-kanak berhimpun dalam kasih untuk menyambut Hari Keluarga Paroki Holy Rosary Limbahau (HRL) pada 2 Jun 2025.
Acara yang dianjurkan oleh Komiti Sosial dan Rekreasi HRL itu bukan sekadar satu perhimpunan sosial, tetapi sebuah perayaan iman dan kasih persaudaraan. Kehadiran Paderi Paroki, Monsignor Nicholas Stephen, bersama para Paderi Pembantu, Fr Lasius Gantis dan Fr Joshua Liew, menambahkan kemeriahan dan makna kepada pertemuan itu, menjadi lambang kesatuan tubuh Kristus yang hidup dalam komuniti.
Tujuan utama penganjuran program itu adalah untuk mengukuhkan ikatan kekeluargaan sesama umat, serta memperteguh semangat komuniti yang berpaksikan Injil kasih, pelayanan tanpa syarat, dan kerjasama yang jujur seiring dengan panggilan Gereja untuk berjalan bersama dalam semangat sinodaliti.
Pelbagai aktiviti riang dan mesra telah dirancang, antaranya pertandingan merambat, boling kelapa, baling belon air, membina rantai manusia terpanjang, membawa telur dengan sudu, membina ‘istana pasir’ dan banyak lagi.
Aktiviti itu bukan hanya menceriakan suasana, tetapi menjadi jambatan yang menghubungkan antara generasi dengan kasih, tawa, dan kenangan bersama. Kemuncak keriangan disaksikan dalam pertandingan tarik tali antara zon di mana Zon Lingan telah muncul sebagai juara. Namun, kemenangan yang hakiki adalah melalui semangat kesukanan dan perpaduan yang begitu terserlah dalam diri setiap peserta.
Sambutan itu turut diserikan dengan kehadiran pemimpin masyarakat, Datuk Juli Nuatin dan Datuk Edward Dagul, yang turut menaja sebahagian daripada makanan dan minuman yang dikongsikan umat sebagai tanda keprihatinan dan sokongan mereka terhadap perkembangan rohani dan kesejahteraan komuniti Katolik setempat.
Salah satu amalan yang paling menyentuh ialah jamuan persaudaraan, di mana setiap zon menyumbang hidangan terbaik untuk dikongsi bersama sebagai satu keluarga dalam Kristus. Aroma barbeku yang menyelerakan, alunan nyanyian karaoke, dan gelak tawa yang bergema menambah kemesraan yang tidak dapat dilupakan menggambarkan keindahan budaya kasih dan perpaduan yang hidup dalam paroki ini.
Hari keluarga itu adalah anugerah, ruang yang diberkati untuk menyemai nilai kasih sayang, saling menghormati, dan memperbaharui komitmen kita kepada pelayanan dan kehidupan komuniti, sebagaimana yang diajarkan oleh Tuhan Yesus Kristus.
Semoga inisiatif seumpama itu terus subur dan berkembang menjadi pemangkin untuk membina komuniti Katolik yang berakar dalam iman, bertumbuh dalam kasih, dan giat dalam pelayanan demi kemuliaan Tuhan dan kesejahteraan sesama.