
KUALA LUMPUR – Dalam suasana doa, harapan dan kekuatan iman, Katedral St John the Evangelist dengan sokongan kumpulan Sisters in Christ telah menghimpunkan pesakit serta bekas pesakit kanser Katolik dari pelbagai paroki sempena Pesta Sto Peregrine, santo penaung bagi mereka yang menderita akibat kanser. Program yang diadakan pada Mei 2 itu dimulakan dengan doa rosari sebelum Misa Kudus.
Misa Kudus dipimpin oleh paderi paroki, Fr Gerard Theraviam. Dalam homilinya, Fr Gerard berkongsi pengalaman peribadi menjaga ibunya yang berjuang melawan kanser selama tiga tahun sebelum meninggal dunia.
Menurut beliau, penderitaan akibat penyakit itu bukan hanya dirasai pesakit, tetapi turut menyentuh seluruh keluarga dan komuniti di sekeliling mereka.
Namun di sebalik kesakitan dan ketidakpastian, perjalanan itu akhirnya menjadi masa pertumbuhan rohani yang mendalam serta mengajar mereka untuk semakin bergantung kepada Tuhan.
Fr Gerard mengingatkan umat agar tidak tenggelam dalam rasa kasihan terhadap diri sendiri, sebaliknya terus menaruh harapan kepada Tuhan yang mampu mengubah setiap penderitaan manusia untuk kemuliaanNya.
Memetik kata-kata Nabi Yesaya 49:6, Fr Gerard menegaskan bahawa Tuhan memanggil umatNya menjadi terang kepada bangsa-bangsa supaya keselamatanNya sampai ke seluruh dunia.Memetik surat apostolik Salvifici Doloris oleh Sto Yohanes Paulus II dan Kolose 1:24, Fr Gerard menjelaskan makna “penderitaan yang membawa penebusan”.
Tegasnya, umat Kristian dipanggil menyatukan penderitaan mereka dengan penderitaan Kristus sendiri.
Merujuk kepada Roma 8:16-17, beliau mengingatkan bahawa sebagai anak-anak Tuhan, umat juga dipanggil berkongsi penderitaan Kristus supaya dapat turut mengambil bahagian dalam kemuliaanNya.“Salib adalah sebahagian daripada kehidupan. Tetapi apabila kita memeluk salib itu bersama Yesus, kita akan menyedari bahawa Tuhan tidak pernah meninggalkan kita,” kata Fr Gerard.
Selepas Misa, para peserta meluangkan masa bersama dalam sesi perkongsian apabila tiga orang wanita berkongsi mengenai perjalanan mereka dalam menghadapi kanser dan bagaimana iman menjadi sumber kekuatan untuk terus bertahan.
Salah seorang daripada mereka, Emma (bukan nama sebenar) berkongsi bahawa hidupnya berubah selepas disahkan menghidap kanser metastatik pada Januari 2023.
Berpegang pada Yesaya 41:10 dan Amsal 3:5, beliau belajar menyerahkan ketakutan serta kebimbangan kepada Tuhan, lalu mengalami damai dan ketenangan sepanjang rawatan.
Emma turut bersyukur kerana dapat menjalani kemoterapi tanpa kesan sampingan, yang dianggapnya sebagai rahmat hasil doa dan iman yang teguh.
Walaupun masih meneruskan rawatan, beliau memilih untuk hidup penuh syukur dan percaya Tuhan sentiasa menyertainya.
Program itu menyedarkan umat bahawa kanser masih menjadi antara penyakit yang paling menakutkan bagi ramai orang. Namun apabila dilalui bersama dalam semangat iman dan saling menyokong, seorang pesakit dapat dibantu serta mendapat penghiburan. – Herald Malaysia














































