
Oleh Christina David
MADSIANG, Penampang – Pada 15 Jun 2025, umat Katolik di Chapel Holy Trinity Kampung Madsiang telah bersama-sama merayakan Pesta Tritunggal Mahakudus dengan penuh berkat dan syukur iaitu pesta penaung kepada Chapel itu.
Program dimulakan dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh paderi paroki, Fr Sunny Chung dalam suasana meriah dan khusyuk. Semua yang hadir turut sama menyaksikan saat istimewa di mana seramai 15 orang calon telah menerima Sakramen Komuni Suci Pertama. Mereka telah dipersiapkan dengan baik dan diterima ke dalam kesatuan penuh dengan Kristus melalui sakramen yang suci itu.
Dalam homilinya, Fr Sunny menegaskan tentang kepentingan kesatuan umat dalam pelayanan, selaras dengan misteri Tritunggal Mahakudus, satu Allah dalam tiga peribadi: Bapa, Putera dan Roh Kudus yang hidup dalam kasih dan kesatuan yang sempurna. Umat diajak untuk meneladani kesatuan itu dalam hidup berkomuniti dan dalam pelayanan seharian.
Selesai Misa, program diteruskan dengan acara di dewan Gereja, yang disertai oleh umat dari pelbagai lapisan umur, serta tetamu-tetamu jemputan khas. Suasana sambutan sangat meriah dengan pelbagai aktiviti yang mempereratkan ikatan komuniti.
Acara kemuncak dalam majlis tersebut ialah cabutan tiket bertuah, yang telah berjaya menarik penyertaan ramai. Program itu dianjurkan oleh Komiti Pastoral Chapel Holy Trinity Madsiang sebagai usaha untuk mencari dana bagi menyokong pembangunan Chapel.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua umat dan orang awam yang telah memberikan sokongan dengan membeli tiket cabutan bertuah itu. Tidak dilupakan juga kepada para penderma hadiah yang bermurah hati, sumbangan itu amat dihargai dan menjadi penyumbang besar kepada kejayaan program itu.
Perayaan itu bukan sekadar satu acara tahunan, tetapi juga satu peringatan akan kasih dan kesatuan dalam Tritunggal Mahakudus: Allah Bapa, Putera dan Roh Kudus yang menjadi sumber kekuatan umat beriman.