Oleh John Cham
Walaupun sambutan Hari Misi Sedunia 2026 sudah berlalu, panggilan untuk mewartakan Kristus terus menjadi tanggungjawab kita setiap hari. Tema “Satu dalam Kristus, Bersatu dalam Misi” mengingatkan kita bahawa semangat misi perlu terus dihidupi melalui kesatuan hati, kesediaan untuk bekerjasama dan keterbukaan menerima kepelbagaian dalam kehidupan Gereja.
Kesatuan ini mengikat umat beriman merentasi benua, budaya, bahasa dan generasi. Walaupun kita mempunyai latar belakang serta pengalaman yang berbeza, kita dipersatukan oleh iman kepada Kristus dan panggilan untuk memberikan kesaksian tentang kasihNya.
Namun, kesatuan tidak semestinya bererti keseragaman. Ada kalanya, usaha mencari perpaduan disertai tuntutan supaya semua orang berfikir, bertindak dan melayani dengan cara yang sama.
Apabila pandangan sendiri dijadikan satu-satunya ukuran, kepelbagaian yang sepatutnya memperkaya kehidupan bersama boleh menjadi punca pertentangan.
Tema ini mencabar kita meneliti sikap sendiri: adakah kita bersedia mendengar, menerima perbezaan dan bekerjasama untuk membawa umat kepada Kristus?
Dalam kehidupan paroki, kepelbagaian bahasa, pendekatan pelayanan dan keutamaan komuniti menuntut sikap saling memahami, berpandukan iman Gereja.
Semoga kita menghayati panggilan pembaptisan dengan menyumbangkan kurnia masing-masing dan mewartakan Kristus dengan sukacita, baik dalam keluarga, masyarakat mahupun tempat kerja.
Dekri Konsili Vatikan II, Ad Gentes, memberikan asas yang mendalam untuk memahami panggilan tersebut. Dokumen ini menegaskan bahawa Gereja pada hakikatnya bersifat misionari, kerana berasal daripada perutusan Putera dan Roh Kudus menurut rancangan Tuhan.
Dengan demikian, misi bukan sekadar salah satu daripada pelbagai kegiatan atau kerasulan Gereja. Misi merupakan identiti teras Gereja. Seluruh kehidupan Gereja diarahkan untuk meneruskan karya Kristus, yang datang membawa keselamatan dan mempertemukan manusia dengan kasih Bapa.
Panggilan ini melibatkan seluruh umat Tuhan: para uskup, paderi, religius dan umat awam. Setiap orang yang dibaptis mempunyai tempat serta tang gungjawab dalam karya pewartaan, menurut keadaan hidup dan kurnia yang diterima.
Tidak semua orang dapat meninggalkan keluarga atau pekerjaan untuk menjadi misionari di tempat yang jauh. Namun, keterbatasan itu tidak menghalang kita daripada mengambil bahagian dalam misi Gereja.
Kita boleh menyokong para misionari melalui doa dan sumbangan serta memberikan kesaksian melalui kejujuran, kesabaran dan keprihatinan terhadap sesama. Tindakan sederhana seperti mendengar mereka yang berdukacita, membantu yang kesusahan dan menerima perbezaan membolehkan kasih Kristus dialami secara nyata.
Misi ini ialah misi Tuhan. Dengan bimbingan Roh Kudus, kita dipanggil melayani dengan rendah hati. Ad Gentes mengingatkan Gereja untuk mengikuti jalan Kristus dalam kemiskinan, ketaatan, pelayanan dan pengorbanan diri, serta menyelaraskan pewartaan dengan kehidupan.
Ketika usaha kurang dihargai atau hasil belum kelihatan, doa dan kehidupan sakramental menguatkan kita untuk terus setia mengasihi dan melayani.
Hari Misi Sedunia mungkin sudah berlalu, tetapi api perutusan mesti terus menyala. Dari altar ke rumah, dari bangku gereja ke tengah masyarakat, setiap kita diutus membawa terang Kristus.
Biarlah perbezaan memperkaya kesaksian kita dan kesatuan memperteguh langkah kita, agar dunia mengenali kasihNya melalui kehidupan kita. Satu dalam Kristus, bersatu dalam misi—hingga ke pelosok dunia, bermula di tempat kita berdiri hari ini. – Herald Malaysia









































