
Oleh Gabriel Singi
BUNDU TUHAN – “Apakah erti Keluarga Kudus kepada kita? Keluarga adalah satu anugerah yang sangat besar kepada kita. Kristus datang ke dunia ini pun memerlukan sebuah keluarga iaitu ibu dan bapa untuk menjadi sempurna. Dia datang dan hidup dalam sebuah keluarga. Keluarga Nazareth adalah lambang kekudusan keluarga dan menjadi teladan bagi kita semua untuk membentuk sebuah keluarga yang harmoni. Keluarga Nazareth menghidupi peranan dan tanggungjawab masing-masing dan memperlihatkan kepada kita pada hari ini apa itu keluarga kudus. Begitulah keluarga kita pada hari ini meneledani keluarga Nazareth untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam keluarga sepenuhnya yang telah diberikan kepada setiap kita. Itulah anugerah yang Tuhan berikan kepada kita. Joseph dan Maria adalah teladan paling cantik untuk melindungi keluarga kita,” antara inti homili Fr Federick Raymond dalam Misa Kudus Pesta Keluarga Kudus.
Sambutan Hari Krismas peringkat paroki dirayakan dengan meriah pada 28 Dis 2025 bersempena dengan perayaan Pesta Keluarga Kudus. Pusat Paroki St Pius X, Bundu Tuhan menjadi tuan rmah sambutan tahun 2025. Perayaan Krismas Paroki sangat bertepatan sekali dengan perayaan Pesta Keluarga Kudus kerana sememangnya inilah inti dan objektif perayaan itu yang mempersatukan seluruh umat paroki sebagai satu keluarga besar dalam perayaan sosial gereja.
Kehadiran umat dari seluruh paroki menunjukkan kebersamaan umat paroki yang sentiasa berjalan bersama dengan gereja pusat paroki. Semangat kebersamaan itu adalah kesinambungan semangat kebersamaan yang telah dipupuk dalam gereja sinodal dan diteguhkan melalui program Perjalanan Salib Malaysia yang diadakan di paroki ini pada 20 Sept sehingga 3 Okt 2025.
Sambutan Krismas Paroki dimulakan dengan perayaan Misa Kudus pada jam 9.00 pagi dengan kehadiran lebih 1000 umat daripada 32 buah chapel. Majlis sosial diadakan di dewan terbuka di perkarangan gereja.
Baca berita penuh dalam Catholic Sabah Vol 69 No 2 bertarikh Jan 18 2026.














































