
Oleh Soccom St Teresa de Avila Bantayan/Pangasaan Inanam
INANAM – Rekoleksi Pembimbing PMG, IKK dan Fasilitator IKD telah berlangsung dengan jayanya di St Teresa de Avila Bantayan pada 14 Feb 2026.
Seramai 150 katekis pembimbing daripada gereja di bawah naungan Paroki St Catherine, Inanam — St Mary Kionsom, St Patrick Kiambalang, St Augustine Babagon Toki, St Victor Poring Poring, St Michael Kironggu, St Paul Kionsom Kecil, St Simon Pulau Penampang, St Catherine of Siena serta tuan rumah St Teresa de Avila Bantayan/Pangasaan mengambil bahagian dalam rekoleksi yang bertemakan “Menjadi Yesus kepada Orang Lain”.
Rekoleksi itu disampaikan oleh Fr Jeffri Gumu, di mana beliau menekankan bahawa peranan katekis pembimbing bukan sekadar pengajar tetapi contoh nyata orang iman yang meneladani Yesus Kristus dan memiliki intimitas dengan yang ilahi.
Upacara Pengutusan turut diadakan dalam Misa Kesyukuran sebagai tanda perutusan untuk terus setia dalam pelayanan.
Dalam homilinya, Rev Fr Jeffri Gumu turut menekankan bahawa dalam mengajar dan membimbing, seseorang katekis perlu memiliki kerendahan hati dan sikap yang sentiasa ingin belajar. Dengan cara ini, para pembimbing bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi juga memberi teladan hidup yang mencerminkan kasih, kesabaran dan kelembutan Kristus. Kerendahan hati membuka ruang untuk dibentuk oleh Tuhan serta membakar semangat untuk terus belajar membantu pelayanan menjadi lebih berkesan dan relevan.
Semoga segala pengisian dan rahmat yang diterima sepanjang rekoleksi menjadi kekuatan dan inspirasi kepada semua katekis untuk terus melayani dengan penuh kasih dan komitmen, serta menjadi saksi tentang kehadiran Yesus dalam komuniti masing-masing.










































