
Oleh Clarence Dol
RANAU – Umat Katolik diseru menjadikan Tuhan sebagai pusat kehidupan serta menghayati semangat “Ora et Labora” (Berdoa dan Bekerja) seperti yang diajarkan oleh Santo Benediktus. Seruan itu disampaikan oleh Fr Ned Columba dalam homilinya sempena Misa Kudus Pesta Santo Benediktus di Gereja St Peter Claver Ranau pada Sabtu, 11 Jul 2026.
Dalam renungannya, Fr Ned menegaskan bahawa kejayaan sebenar bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik atau pengiktirafan manusia, tetapi melalui kesetiaan kepada Tuhan dan usaha melakukan kebaikan setiap hari. Beliau menjelaskan bahawa doa dan kerja perlu berjalan seiring, dengan umat memohon bimbingan Tuhan sambil melaksanakan tanggungjawab dengan tekun.
Kepada murid-murid, beliau berpesan agar belajar bersungguh-sungguh, menghormati ibu bapa dan guru serta menjadi sahabat yang baik. Pendidikan, katanya, bukan sekadar mengejar keputusan peperiksaan, tetapi membentuk insan beriman dan berakhlak mulia. Beliau turut menghargai pengorbanan para guru dalam mendidik dan membimbing anak-anak.
Berpandukan Injil, umat juga diingatkan supaya tidak takut kepada manusia, sebaliknya takut akan Tuhan dan berani mengakui Kristus dalam kehidupan seharian. Misa tersebut diakhiri dengan doa agar seluruh komuniti terus bertumbuh dalam iman, ilmu dan akhlak, sebelum dilanjutkan dengan acara fellowship di Dewan St Benedict Ranau.






































