
Oleh Katekatikal Paroki Lahad Datu
LAHAD DATU – Katekatikal Paroki St Dominic, Lahad Datu telah menganjurkan seminar serentak bagi para calon yang akan menerima Sakramen Komuni Pertama serta para calon Sakramen Penguatan pada 16 Sept 2026.
Seminar selama sehari itu dihadiri seramai 466 peserta dan para pembimbing seramai 60 orang yang mana kehadiran tersebut didatangi dari Pusat Paroki dan seluruh Luar Stasi kecuali Kunak, Madai dan juga Sapang.
Seminar itu dijalankan di dua lokasi berbeza di mana para calon Sakramen Komuni Pertama berkumpul di Dewan Paroki, manakala para calon Sakramen Penguatan mengikuti sesi mereka di dalam Gereja St Dominic.
Seramai 11 orang penyampai sesi yang telah membawakan sesi-sesi yang bermakna untuk memperkaya pengetahuan iman para calon, dan tujuan seminar itu juga adalah untuk membantu para calon Komuni Pertama dan Krisma untuk mengenali dan memahami sakramen-sakramen di dalam gereja Katolik, serta memahami perkara penting yang berkaitan dengan kehidupan iman mereka sebagai seorang Katolik dan juga mendalami persiapan rohani sebelum menerima Tubuh Kristus dan anugerah Roh Kudus.
Sebelum sesi dari para pembimbing bermula, seminar terlebih dahulu dimulakan dengan Pentahtaan Alkitab yang dipimpin oleh Fr Stanley William Matakim. Dalam sesi itu juga, Fr Stanley mengingatkan kepada semua calon Komuni Pertama dan Krisma tentang makna pertaubatan di dalam Sakramen Pertaubatan dalam kehidupan seorang Katolik.
Para calon diingatkan tentang pentingnya mengakui kesalahan dan menyesali dosa, serta berusaha untuk memperbaiki diri dan kembali mendekatkan diri dengan Tuhan. Sakramen Pertaubatan juga mengingatkan kita bahawa kasih dan pengampunan Tuhan sentiasa terbuka bagi setiap orang yang sungguh-sungguh datang kepada-Nya dengan hati yang bertaubat.
Dengan penuh rasa syukur dan sukacita, para calon diingatkan agar terus menghayati setiap pengajaran yang telah mereka dapat daripada sesi-sesi sepanjang seminar itu dan semoga semua ilmu pengetahuan, nasihat dan pengalaman yang diperoleh diharapkan dapat membantu para calon untuk semakin mengenali, mengasihi dan menghayati iman Katolik dalam kehidupan seharian. Para calon juga diingatkan untuk terus membuat persediaan rohani sebelum penerimaan Sakramen Penguatan dan Penyambutan.
Semoga segala pengajaran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang seminar itu menjadi bekal yang berguna kepada para calon dalam perjalanan iman mereka. – Facebook Rasmi Soccom Lahad Datu













































