
Oleh CHARIS BM Katedral St Mary Sandakan
SANDAKAN — Seramai 172 peserta termasuk Tim pelayanan telah mengambil bahagian dalam Seminar Hidup Baru Dalam Roh anjuran Pelayanan Pembaharuan Karismatik Katolik (CHARIS) Bahasa Malaysia, Katedral St Mary Sandakan dengan tema “Hidup oleh Roh, Dipimpin oleh Roh” (Galatia 5:25) pada 2-4 Okt 2026.
Seminar yang berlangsung selama tiga hari itu menghimpunkan umat awam dewasa, calon-calon persiapan Komuni Pertama dan Sakramen Penguatan, serta Inisiasi Kristian Dewasa (IKD) dalam suasana yang penuh iman, sukacita, persaudaraan dan keterbukaan kepada karya Roh Kudus.
Sepanjang seminar, para peserta dibimbing melalui pelbagai sesi pembinaan dan pengalaman iman, antaranya pengajaran iman, perayaan Ekaristi, perkongsian, Sakramen Pengakuan, doa penyembuhan, transformasi dan pemuridan, pengenalan kepada karunia-karunia Roh Kudus, serta kemuncak seminar melalui Sesi Curahan Roh Kudus.
Setiap sesi menjadi kesempatan bagi para peserta untuk semakin mengenal kasih Tuhan, membuka hati kepada karya Roh Kudus serta menyedari panggilan untuk mengalami pembaharuan hidup dalam Kristus.
Seminar itu dipengerusikan oleh Adaris Moses Sintan, dengan Veron Dennis sebagai Penyelaras, Haina Egoh sebagai Timbalan Penyelaras dan Melissa Silin sebagai Bendahari, bersama seluruh tim pelayanan yang telah memberikan masa, tenaga dan komitmen dalam menjayakan seminar tersebut.
Syukur kepada Tuhan atas segala rahmat dan penyertaan-Nya. Semoga segala pengalaman, pengajaran dan pembaharuan yang diterima sepanjang seminar tidak berhenti pada tiga hari itu sahaja, tetapi terus bertumbuh dalam kehidupan seharian: dalam keluarga, pekerjaan, pelayanan dan komuniti.
Marilah kita terus membuka hati untuk hidup oleh roh dan dipimpin oleh Roh Kudus, menjadi saksi Kristus serta membawa sukacita Injil kepada sesama. “Jika kita hidup oleh Roh, baiklah kita juga dipimpin oleh Roh.” (Galatia 5:25)
Soli Deo Gloria — Segala Kemuliaan hanya bagi Tuhan – Dospo










































