Uskup Cornelius Piong menyerahkan sepanduk PKS-2 kepada Perwakilan Kateketikal Keuskupan Agung Kuala Lumpur di akhir Misa Kudus Penutupan Perhimpunan Kateketikal Sabah -2  sambil diperhatikan oleh Msgr Nicholas Stephen.

By Peter Z

Sep 22 2023

KOTA KINABALU – Sebagai katekis pembimbing, seseorang itu harus sedar dan bersyukur secara terus-menerus untuk sentiasa dapat mengampuni, kerana jika tidak demikian ia, akan melemahkan pelayanan.

Demikian kata Uskup Cornelius Piong, Prelatus Keuskupan Keningau ketika dalam homili ketika Misa Kudus Penutupan Perhimpunan Kateketikal Sabah ke 2(PKS-2) pada 17 Sep yang lalu. PKS-2 mengumpulkan seramai 821 peserta dari ketiga buah keuskupan di Sabah, termasuk peserta dari Keuskupan Agung Kuching dan Kuala Lumpur.

“Kita semua sudah mengalami bahawa bukan mudah untuk mengampuni. Dalam pelayanan sebagai katekis, terutamanya sebagai katekis pembimbing, seringkali kita berdepan dengan peristiwa tentang ‘mahu mengampuni atau tidak mengampuni’. Apabila kita tidak dapat mengampuni, itu akan melemahkan pelayanan kita,” jelas Uskup Cornelius.

Sambil mengajak para katekis pembimbing untuk merenung Sabda Tuhan yang menyentuh tentang seberapa banyak seseorang itu harus mengampuni saudara sesamanya, Uskup itu menyatakan bahawa bagi Tuhan, tindakan mengampuni itu tidak ada hadnya. Dalam masa yang sama, prelatus itu juga memperingatkan para katekis agar tidak lagi terbawa-bawa budaya lama tentang pengampunan.

“Sabda Tuhan hari ini menyentuh hati kita tetapi dalam masa yang sama, ia adalah cabaran. Memang bukan mudah untuk mengampuni tetapi bagi Tuhan, pengampunan itu tidak ada hadnya. Kerana itu, jangan lagi ada diantara kita yang mengamalkan cara fikir budaya lama iaitu ‘tiada maaf bagimu sampai mati’ atau ‘ tiada maaf bagi mu sampai tujuh keturunan’.

Tambah prelatus itu, sifat mengampuni itu adalah sifat ilahi kerana manusia diciptakan menurut rupa Tuhan.

“Sebagai murid Yesus, walaupun perkara ini bukan mudah, kita harus sedar dan bersyukur kerana kita manusia ada potensi atau kemampuan untuk mengampuni, untuk berdamai. Bukan kerana kemampuan kita sebagai manusia, tetapi kerana kita diciptakan menurut rupa dan dan gambar Tuhan. Sifat Tuhan itu, seperti yang kita tahu adalah maha pengasih dan Dia sentiasa maha mengampuni”

Seterusnya, Uskup Cornelius mengingatkan para katekis untuk melatih memperkembangkan sifat-sifat ilahi dalam diri agar mereka dapat bertumbuh di dalam iman, harapan dan kasih.

“Kalau sifat Tuhan itu ada pada kita, kalau kita sedar dan kalau kita syukuri, dan kalau kita mahu supaya kita ini dikuasai oleh sifat-sifat ilahi ini, pastinya ada jalan. Tetapi jika kita tidak sedar dan tidak bersyukur bahawa kita diciptakan menurut rupa dan gambar Tuhan, sememangya tidak ada jalan, yang ada hanya jalan buntu. Itulah sebabnya ada ungkapan ‘tiada maaf bagimu sampai mati’.

“Sepanjang 3 hari kita telah mendengar dan berbincang tentang katekis yang berjalan bersama dalam iman, harapan dan kasih. Tetapi bukan setakat dalam perbincangan sahaja. Sebagai katekis yang berjalan bersama dalam iman kasih dan harapan, haruslah kita menjadi saksi-saksi yang dapat berjalan bersama, untuk beriman, untuk berharapan dan kasih.”

Prelatus itu mengakhiri homilinya dengan mengajak para katekis untuk setiap hari memohon pertolongan dari Roh Kudus dalam apa juga hal. ”Hidup yang seperti inilah yang seharusnya bagi seorang Kristian,” jelasnya.