
Herald Malaysia
JULAI 26 ialah Hari Datuk, Nenek dan Warga Emas Sedunia. Setiap kali hari itu tiba, saya tidak hanya teringat akan mendiang datuk dan nenek saya. Saya juga teringat akan sekumpulan wanita di chapel kami yang telah mengubah cara saya melihat usia tua.
Segalanya bermula pada bulan Mac lalu. Selepas menghadiri Seminar Wanita dan Ekologi sempena Hari Wanita, salah seorang penceramah meninggalkan satu cabaran yang sangat mudah.
“Bagaimanakah anda boleh menjadikan kawasan gereja atau chapel anda lebih indah?”
Soalan itu tidak berhenti di dewan seminar. Ia dibawa pulang ke chapel kami. Beberapa orang wanita mula berbincang. Mereka mahu melakukan sesuatu untuk rumah Tuhan. Mereka tidak menunggu bantuan. Mereka tidak menunggu peruntukan. Mereka juga tidak berkata, “Biar orang muda buat.”
Sebaliknya, mereka sendiri mula bekerja. Sebahagian daripada mereka membina beberapa taman mini di keliling chapel. Ada yang menghasilkan sebuah taman kecil yang lain menggunakan tayar lama, botol plastik dan pasu terpakai di kawasan yang selalunya dilalui orang. Ada yang menanam herba. Ada yang melukis dan menulis firman Tuhan lalu menggantungkannya pada pokok. Ada yang mengecat semula tangga yang sudah lama pudar.
Sedikit demi sedikit, kawasan chapel berubah menjadi lebih hidup. Namun, apa yang paling indah bukanlah taman itu. Yang paling indah ialah orang yang membinanya dan kesatuan mereka.
Ramai daripada mereka sudah menghampiri usia 70 tahun. Ada yang menjadi nenek sepenuh masa. Ada yang tidak pernah melakukan kerja-kerja landskap sepanjang hidup mereka.
Tetapi demi mencantikkan rumah Tuhan, mereka sanggup melakukan perkara yang tidak pernah mereka bayangkan.
Ada yang bergurau sambil berkata bahawa mereka sudah menjadi “kerbau”. Mereka mengangkut tanah. Mengalihkan batu. Mengisi pasu. Menanam pokok.
Chapel kami pula terletak di atas bukit. Bekalan air tidak sentiasa mudah diperoleh. Namun, itu juga tidak menjadi alasan. Ada yang membawa gelen-gelen air dari rumah semata-mata untuk menyiram bunga yang baru ditanam. Bukan sekali. Tetapi hampir setiap hari. Saya tidak menceritakan semua ini untuk menunjukkan betapa sukarnya kerja mereka.
Sebaliknya, saya melihat sesuatu yang jauh lebih besar. Saya melihat kebijaksanaan warga emas. Saya melihat kesabaran. Saya melihat curahan kasih sayang mereka terhadap Tuhan dan ekologi.
Saya melihat orang yang tidak tergesa-gesa mencari hasil, tetapi sanggup menikmati proses. Saya melihat generasi yang tahu bahawa sesuatu yang indah tidak lahir dalam sehari. Taman itu mengambil masa hampir tiga bulan untuk disiapkan. Dan mungkin itulah sebabnya ia begitu indah.
Kerana setiap batu, setiap bunga, setiap herba dan setiap pasu mengandungi doa, pengorbanan dan kasih mereka kepada Tuhan. Usia tidak pernah menjadi halangan untuk melayani.
Sempena Hari Datuk, Nenek dan Warga Emas Sedunia, saya belajar bahawa menghormati warga emas bukan sekadar mengadakan sambutan atau memberi hadiah kepada mereka.
Kita menghormati mereka apabila kita memberi ruang kepada pengalaman mereka. Kita menghormati mereka apabila kita mempercayai kebijaksanaan mereka. Kita menghormati mereka apabila kita membenarkan mereka terus menyumbang kepada Gereja. Bapa Suci Fransiskus pernah mengingatkan bahawa warga emas ialah penjaga memori dan saksi harapan.
Kini saya benar-benar memahami maksud kata-kata itu. Yang mengindahkan taman di chapel kami bukannya bunga sebaliknya tangan-tangan yang sudah berkedut, namun masih subur dengan kasih kepada Tuhan. – Herald Malaysia





































