Perarakan masuk Misa Kudus diiringi paluan musik tradisional
Oleh Monica & Catherine (Gambar: SOCCOM SDC)
Jul 13 2023
LAHAD DATU – Pada 18 Jun lalu, Paroki St Dominic Lahad Datu telah merayakan Misa Kesyukuran sempena perayaan Pesta Kaamatan dan Gawai yang juga di susuli persembahan pentas setelah selesai misa pada jam 9 pagi pada hari tersebut.
Para petugas liturgi semasa Misa pada hari itu, sebahagian besar telah dikendalikan oleh suku kaum KDMR dengan memakai busana adat. Selain itu gereja juga dihiasi dengan indah daripada hasil tuaian seperti padi, buah buahan dan lain-lain lagi.
Sambutan ini juga mendapat perhatian oleh Paderi Paroki, Fr Stanley Matakim, di mana beliau sangat memberikan dorangan tentang betapa pentingnya perayaan Kaamatan dan Hari Gawai demi kesatuan semua umat.
Fr Stanley berkata dalam homilinya, “perayaan ini adalah perayaan kita bersama dimana kita bersyukur atas pemberian rezeki dari Tuhan kepada kita, dan tidak lupa juga bagi mereka yang bersusah payah dalam menghasilkan semua hasil tuaian sehingga hari ini”. Paderi juga berkata, sambutlah perayaan ini sebagai satu gereja yang besar, yang dirayakan bersama di dalam kerajaan Tuhan di bumi ini. Setelah itu Paderi memberkati semua hasil tuaian yang telah di sediakan.
Setelah Misa Kudus selesai, majlis diteruskan dengan persembahan pentas yang di adakan di dewan terbuka paroki St Dominic. Hampir 300 umat yang terdiri daripada pelbagai suku kaum hadir dalam perayaan ini.
Persembahan pentas di mulakan dengan ketibaan Fr Stanley Matakim, Paderi Pembantu, Fr Marcelinus Pongking, Sister FSIC, Pengerusi MPP, Pengerusi Komiti Tukad, Pengerusi KPI, Pengerusi Komiti Filipino, Pengerusi KPUK Luar stasi dengan iringan paluan Gong Tambunan dan tarian dari belia-belia Paroki.
Gimik perasmian dimulakan dengan paluan Gong sebanyak tujuh kali oleh Fr Stanley dan diteruskan dengan pelbagai acara yang diadakan seperti persembahan tarian tradisi dari KDCA serta Komiti Pastoral Indonesia, tarian terbuka, pertandingan mewarna, cabutan tiket bertuah, Sugandoi, pertandingan Unduk Ngadau, pertandingan masakan makanan dan minuman tradisi, Mipulos dan banyak lagi. Pada hari itu juga, pelbagai gerai dengan pelbagai jualan makanan tradisi serta minuman tradisi yang dapat di nikmati oleh para umat.
Komiti Tukad dan Majlis Pastoral Paroki telah membantu dalam pelaksanaan upacara ini agar perjalanan lebih meriah, teratur dan selesai mengikut masa yang ditetapkan. Akhir sekali, perayaan pesta kaamatan dan hari gawai peringkat paroki St Dominic telah berjaya dengan meriah dan penuh keberkatan. – Dospo