Oleh KOMSOS SPM
4 Mei 2021
MEMBAKUT – “Jangan lupa untuk menyerahkan hidup sepenuhnya kepada bimbingan Roh Kudus,” kata Uskup Datuk Cornelius Piong kepada 29 penerima Sakramen Krisma di gereja St Patrick Membakut pada 17 April lalu.
Misa Kudus upacara penerimaan Sakramen Krisma ini bermula pada jam 10.00 pagi dan telah dihadiri oleh kira-kira 150 orang umat yang terdiri daripada ibu-bapa penerima Krisma, para penanggung, pembimbing, pengerusi-pengerusi KKD dan KUK serta pengerusi-pengerusi komiti dan Kerasulan Paroki St Patrick Membakut.
“Semasa PKP berlangsung, gereja memang mengalami banyak halangan terutama sekali dalam melaksanakan Misa Kudus dan aktiviti-aktiviti lain. Namun demikian, kita seharusnya tidak putus asa dan terus berdoa agar keadaan kembali pulih seperti sediakala dan mengambil peluang ini untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. Banyakkan berdoa dan sentiasa mengekalkan relasi dengan Roh Kudus,” kata Uskup Cornelius di dalam ucapan alu-aluannya.
Fr Benedict Runsab, paderi paroki, berterima kasih kepada uskup kerana berusaha hadir dan melaksanakan upacara penerimaan Krisma.
“Terima kasih kepada Komiti Kateketikal yang telah berusaha melaksanakan tugas-tugas pembimbingan secara online mahupun secara bersemuka. Ini menunjukkan bahawa PKP bukanlah satu halangan untuk meneruskan pembimbingan,” katanya.
Manakala Pengerusi MPP, Samuel Kula Salimpah berkata, “Walaupun dengan kehadiran yang terhad, kita bersyukur atas kesempatan untuk merayakan Paska dengan tenang dan kesempatan untuk mengadakan upacara penerimaan Krisma.
“Tahniah kepada semua penerima Krisma. Majlis Kesyukuran Paska Paroki St Patrick Membakut dan majlis kesyukuran penerimaan Krisma pada kali ini sememangnya disambut secara sederhana namun penuh dengan rasa syukur” katanya.
Samuel juga berterima kasih kepada Uskup Piong, Komiti Kateketikal yang diketuai oleh Hyacintha Gerardus, serta semua yang terlibat dalam persiapan sambutan majlis kesyukuran Paska paroki dan majlis kesyukuran penerima Krisma.
Selesai Misa Kudus, Uskup menerima sumbangan kasih daripada penerima Krisma, MPP dan semua KKD dan KUK. Uskup Piong, paderi, AJKT MPP bersama semua yang hadir bergerak ke dewan untuk acara pemotongan kek kesyukuran dan makan tengahari. Acara pada hari tersebut berakhir kira-kira jam 2.00 petang.