Uskup Agung John Wong (tengah) semasa Misa Kudus pentahbisan Fr Peter Chung di St John Tuaran pada 22 Ogos, bersamanya Uskup Cornelius Piong, Keuskupan Keningau

Oleh Linda Edward

Aug 24 2022

TUARAN – Uskup Agung John Wong berkata perkara yang paling mencabar bagi seorang paderi adalah menghidupi kehidupan imamat setelah ditahbis.

Katanya perjalanan seorang calon di seminari tidaklah begitu susah, asalkan saja calon itu boleh menyesuaikan diri hidup berkomuniti dan mampu mengikuti semua pembelajarannya.

Tetapi cabaran sebenar adalah setelah calon itu ditahbis sebagai paderi kerana kini kehidupannya adalah milik Gereja.

“Setelah pentahbisan, kehidupan seorang paderi menjadi milik Gereja.

“Masanya dibahagikan demi umat, harijadinya dirayakan bersama, minatnya diketahui semua, ulangtahunnya diingati, kesihatannya dijaga, perkataannya dibahas, pandangannya dicari, keputusannya ditunggu-tunggu, gerak-gerinya diperhatikan, dan sebagainya.

“Paderi itu menjadi public figure atau tokoh masyarakat,” kata Uskup Agung.

Oleh kerana itu, selalunya umat atau masyarakat awam menaruh ukuran yang tinggi kepada paderi.

“Biasanya umat mempunyai expectation yang tinggi terhadap paderi. Mereka expect paderi itu sempurna.

“Tapi sayangnya, kadangkala mereka (paderi) tidak dibantu menjadi seorang yang berkenan kepada Tuhan dan kepada masyarakat,” katanya.

Uskup Agung berkata ini semasa hari pentahbisan Fr Peter Chung di Gereja St John Tuaran pada 22 Ogos.

Prelatus menekankan bahawa umat di dalam komuniti harus membantu memelihara kepaderian dan tidak sepatutnya memiliki paderi itu.

“Setelah menjadi paderi, kepaderian seseorang itu harus dipelihara dan dipertahankan bersama oleh komuniti yang dia layani.

“Paderi tidak sepatutnya mengikat dirinya khusus kepada kumpulan tertentu manakala umat atau kumpulan tertentu tidak sepatutnya memiliki paderi itu,” katanya.

Uskup Agung memohon semua agar berdoa untuk para paderi.