
Herald Malaysia
CHERAS – Buat julung-julung kalinya, hampir 600 ahli koir dan pemuzik daripada pelbagai bahasa di bawah naungan Keuskupan Agung Kuala Lumpur berhimpun di Paroki St Francis of Assisi (SFA), untuk program “Meraikan Koir” dengan tema “Muzik Suci – Perjalanan Gereja Merentasi Zaman” pada Jan 23 – 24 lalu.
Dianjurkan oleh Archdiocesan Liturgy Comission (ALC), penganjuran ini mencatatkan sejarah apabila empat kerasulan bahasa; Archdiocesan Chinese Apostolate Committee (ACLAC), Archdiocesan Tamil Apostolate Committee (ATLAC), dan Archdiocesan Bahasa Malaysia Apostolate (ABMA) bergabung menjayakan program itu.
Seramai 280 peserta dari kumpulan koir Bahasa Inggeris, manakala hampir 100 orang dari koir bahasa Melayu, Tamil dan Mandarin.
Di bawah bimbingan penceramah jemputan yang terdiri daripada Fr Leonard Lexson, Fr Dominic Tan, Fr John Yeow, Fr Gnana Selvam Berentis, dan Spencer Klumai, peserta dibimbing untuk menerokai kekayaan warisan muzik Gereja.
Mereka juga berpeluang mengikuti latihan singkat vokal dan penafasan oleh pemuzik-pemuzik professional.
Acara kemuncak program itu adalah sesi persembahan lagu-lagu liturgi, aklamasi Injil dari koir keempat-empat bahasa selama satu jam.
Fr Leonard Lexson turut menganjurkan acara lanjutan iaitu Mengubah Lagu Pembukaan Misa.
Setiap kumpulan koir mengikut bahasa dijemput untuk mencipta lagu baharu bagi kegunaan liturgi dan karya-karya terpilih, bakal dipersembahkan dalam program koir khas pada Julai 2026.
Uskup Agung Kuala Lumpur, Julian Leow, datang pada hari terakhir program, memberi semangat kepada para peserta.
Prelatus itu meluahkan rasa gembira dan syukur atas dedikasi setiap para peserta yang hadir dan mengakhiri program dengan doa penutup. – Herald Malaysia















































