
Oleh Clarence Dol
RANAU — Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Zon Bongkud Ranau yang diadakan di Chapel St Geoffrey Waluhu pada Ahad, 24 Mei berlangsung dengan meriah, harmoni dan semangat kekeluargaan apabila ratusan umat hadir bersama-sama meraikan perayaan tradisi masyarakat Kadazandusun itu.
Majlis bermula dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr Lasius Gantis sebelum beliau merasmikan sambutan Kaamatan yang diteruskan sejurus selepas perayaan Ekaristi tersebut.
Dalam homili dan ucapan perasmiannya, Fr Lasius menekankan bahawa sambutan Kaamatan bukan sekadar perayaan kebudayaan atau pesta menuai semata-mata, tetapi turut membawa makna mendalam dari sudut kerohanian, khususnya dalam menghayati semangat kesyukuran kepada Tuhan atas segala berkat kehidupan.
Beliau berkata, masyarakat Kristian dipanggil untuk sentiasa mensyukuri segala hasil tuaian, rezeki, keamanan dan kesihatan yang dianugerahkan Tuhan, di samping terus memperkukuhkan iman serta hubungan persaudaraan dalam komuniti.
“Kaamatan mengingatkan kita bahawa manusia bergantung sepenuhnya kepada Tuhan sebagai sumber kehidupan. Segala hasil bumi, pekerjaan dan rezeki yang kita nikmati adalah berkat daripadaNya. Oleh itu, sambutan seperti ini harus menjadi kesempatan untuk kita memperbaharui rasa syukur, mempererat perpaduan dan memperkukuhkan kasih sesama insan,” katanya.
Menurut beliau lagi, nilai-nilai seperti gotong-royong, hormat-menghormati dan semangat kebersamaan yang diwarisi sejak turun-temurun dalam budaya masyarakat Kadazandusun perlu terus dipelihara kerana selari dengan ajaran Kristian.
“Kita mahu generasi muda terus menghargai budaya dan warisan nenek moyang, namun dalam masa yang sama menjadikan Kristus sebagai pusat kehidupan keluarga dan masyarakat,” tambahnya.
Turut hadir memeriahkan sambutan ialah Paderi Paroki St Peter Claver Ranau, Fr Ambrose Michael Atang yang juga menyampaikan ucapan alu-aluan sempena majlis tersebut.
Dalam ucapannya, Fr Ambrose merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan sambutan Kaamatan peringkat zon berkenaan. Beliau menyifatkan penganjuran program sedemikian sebagai platform terbaik untuk menyatukan umat tanpa mengira latar belakang kampung dan komuniti.
“Sambutan Kaamatan bukan sahaja memelihara budaya tradisi masyarakat kita, tetapi juga menjadi jambatan yang menghubungkan umat dalam semangat persaudaraan dan pelayanan gereja. Apabila umat berkumpul dalam suasana penuh sukacita seperti ini, hubungan sesama keluarga gereja menjadi semakin erat,” katanya.
Beliau turut mengajak umat agar terus aktif dalam kegiatan gereja serta bekerjasama dalam memperkukuhkan kehidupan komuniti Kristian di peringkat zon dan paroki.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Majlis Pastoral Paroki Ranau, Dr Gofri Nenghilon, Bendahari Komiti Kewangan SPCR, Verus Pinol, Pengerusi Zon Bongkud, Vitus Joannes Sading, para pemimpin gereja, pengerusi KUK, ketua komuniti serta umat dari sekitar kawasan Zon Bongkud dan Ranau.
Pelbagai acara menarik turut diadakan sepanjang sambutan tersebut antaranya acara pemotongan kek sambutan Kaamatan, simbolik menuai padi sebagai lambang kesyukuran atas hasil tuaian, persembahan nyanyian dan hiburan, cabutan tiket bertuah serta pameran makanan tradisional yang menampilkan pelbagai juadah masyarakat tempatan.
Acara simbolik menuai padi menjadi antara tarikan utama majlis apabila para tetamu dan umat berpeluang menyaksikan demonstrasi tradisi yang menggambarkan warisan budaya masyarakat Kadazandusun sejak zaman dahulu.
Selain itu, suasana sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian tradisional dan moden yang mendapat tepukan gemuruh daripada para hadirin. Pameran makanan tradisional seperti hinava, kuih-muih tempatan dan pelbagai hasil kampung turut mendapat sambutan menggalakkan.
Sambutan yang berlangsung dalam suasana aman dan penuh kegembiraan itu jelas mencerminkan semangat perpaduan, keharmonian serta kekuatan komuniti umat Katolik di Zon Bongkud.
Penganjuran sambutan tersebut juga diharapkan dapat terus menjadi medium untuk memupuk penghargaan terhadap budaya tempatan di samping memperkukuhkan nilai-nilai Kristian dalam kehidupan masyarakat.










































