
Oleh Alicia Dora Paul, Catholic Sabah
BUKIT PADANG – Katekesis tentang paranormal dan kuasa gelap menurut ajaran Gereja Katolik siri pertama telah menarik lebih seribu kehadiran umat di Church of Mary Immaculate pada 13 Okt 2026.
Katekesis yang julung kali diadakan itu disampaikan oleh Msgr Nicholas Stephen dalam suasana jenaka yang bersahaja membolehkan penyampaian isi penting mudah difahami tidak kira lapisan umat yang hadir ditambah dengan penceritaan pengalaman peribadi beliau sendiri.
Menurut Msgr Nicholas, gereja tidak pernah berkata bahawa hantu dan kuasa gelap itu tidak wujud. Gereja berkata bahawa paranormal dan kuasa gelap itu ada, maka sebab itulah umat Katolik harus menjauhi pengaruhnya.
Mengupas persoalan mengapa umat Katolik masih mendekati kuasa gelap sebagai contohnya masih berjumpa dengan dukun, Msgr Nick menyenaraikan tiga alasan. Pertama, kerana apabila seseorang individu jatuh sakit dan susah sembuh walaupun sudah berjumpa dengan doktor, maka timbul perasaan takut membuatkan dia lari menuju kuasa kegelapan.
Alasan kedua adalah disebabkan dengan sifat manusia yang ingin cepat kaya dan cantik. Manakala alasan ketiga adalah kerana perasaan manusia yang terluka dan dendam membuatkan dia ingin membalas perbuatan individu yang menyakitinya. Dengan berjumpa dukun, umat Katolik membuka pintu kepada iblis.
Apabila seseorang sudah terjerumus ke dalam kuasa kegelapan, selain dia membuka pintu kepada pengaruh kuasa kegelapan masuk ke dalam keluarganya, individu tersebut juga akan berasa terikat dan ketagih dengan kuasa dan pengaruh yang diamalkannya. Sekaligus membuatkan doanya kepada Tuhan menjadi tawar.
Pelbagai lagi isu berkaitan paranormal dan kuasa kegelapan akan dikupas dalam sesi akan datang. Msgr Nick memberitahu bahawa akan ada kesinambungan katekesis tersebut. Namun, tarikh dan masa akan diuar-uarkan kemudian.












































