
Oleh Stella Eming Dydimus
KUALA PENYU – Seramai 110 peserta dari seluruh Paroki St Peter Kuala Penyu dan beberapa peserta dari Paroki Beaufort, Membakut dan Sipitang menyertai Retret Kerasulan Devosi Kerahiman Ilahi yang diadakan di Dewan Gereja St Peter Bundu Kuala Penyu.
Retret yang diadakan pada 15 – 17 Mei 2026 itu dikendalikan sepenuhnya oleh Fr Bede Morti Lamutan bersama dengan Kongregasi Puteri Karmel dan Carmelite Santi Elia (CSE) dari Pertapaan Kaingaran.
Retret bermula dengan Misa Kudus pembukaan oleh Fr Bede sebagai persiapan diri peserta supaya dapat membuka hati dan fikiran serta mendapat kekuatan untuk memahami secara mendalam tentang Kerasulan Devosi ini.
Sr Dominica daripada Kongregasi Puteri Karmel memulakan sesi pertama pada malam itu dengan ceramah yang bertajuk Kerahiman Ilahi. Kerahiman bermaksud pengampunan dan belas kasih. Tuhan yang setia adalah gambaran Tuhan yang berbelas kasih yang tidak pernah meninggalkan umatNya. Kita sebagai umat Tuhan adalah saksi-saksi kerahiman Tuhan.
Keesokan harinya dalam sesi kedua disampaikan oleh Fr Bosco, CSE yang menerangkan tentang Bulla Misercordiae Cultus (Wajah Kerahiman). Ianya merupakan dokumen rasmi oleh Bapa Suci dalam Gereja Katolik yang diterbitkan pada 11 Apr 2015. Mesej utama adalah Yesus merupakan Wajah Kerahiman.
Sesi seterusnya bertajuk Sarana-sarana dalam Gereja disampaikan oleh Sr Salverina Regina membawa peserta memahami betapa Kerahiman Ilahi itu merupakan Kasih Tuhan yang tanpa batas kepada manusia berdosa. Kasih Tuhan dapat dirasakan melalui Sakramen Baptis, Sakramen Tobat, Sakramen Ekaristi, Sakramen Pengurapan Orang Sakit, melalui Doa dan Adorasi, Komuniti, Gerakan Kerahiman serta Devosi Kerahiman Ilahi.
Seterusnya, sesi oleh Bro Terence Maria, CSE bertajuk Buah-buah Kerahiman Tuhan menerangkan tentang buah yang terhasil dari Devosi Kerahiman Ilahi iaitu Iman dan Kepercayaan. Orang yang mengalami Kasih Tuhan akan menghasilkan buah. Kasih Allah membuat kita percaya bahawa Tuhan tidak pernah meninggalkan kita. Iman membuat seseorang mampu mengasihi dengan mata iman dan mampu melihat Yesus dalam diri orang lain.
Hari kedua ini juga dijalankan Ibadat pertobatan, Perdamaian dan Penyembuhan yang dikendalikan oleh Fr Bosco dan Sister Puteri Karmel.
Hari seterusnya selepas Misa Kudus Hari Minggu, sesi terakhir retret itu oleh Sr Dominica, Puteri Karmel dengan tajuk Bapa yang baik hati. Kisah ini diambil dari Lukas 15:11-24, perumpamaan tentang anak yang hilang. Ia mengisahkan tentang seorang Bapa yang tidak pernah berhenti mengasihi walaupun anaknya sudah jauh tersasar daripada kehidupan rohani. Ia juga mengingat dan mengajar kita bahawa masalah tetap ada di dalam kehidupan tetapi setelah kembali, kita menpunyai Tuhan yang memberi kekuatan dan sandaran pada saat kita menghadapi cabaran.
Turut membantu menghidupkan suasana retret itu dengan memimpin nyanyian lagu puji-pujian, ialah Missionaris Marylyn dan Missionaris Bruce dari Komuniti Missionaris Tritunggal MahaKudus (KTM) serta gabungan ahli-ahli KTM Beaufort dan Kuala Penyu.












































