
Oleh Evelyn Justine, SOCCOM HFCT
TELIPOK – Komuniti Indonesia yang menjadi perantau dan tinggal di kawasan Paroki Holy Family Telipok menyambut Hari Ulang Tahun Kemerdekaan Indonesia yang ke-81 pada 23 Ogos 2026. Perayaan itu bermula dengan Misa Kudus dipimpin oleh Fr David Sham sempena sambutan Republik.
Dalam perayaan Ekaristi tersebut, umat diajak untuk memanjatkan doa syukur atas berkat kemerdekaan yang dikurniakan kepada bangsa Indonesia, seraya memohon bimbingan Tuhan bagi kelangsungan kehidupan yang adil dan makmur.
Selepas Misa Kesyukuran, perayaan diteruskan dengan nyanyian lagu Republik Indonesia daripada umat disusuli dengan jamuan kesyukuran di Dewan Paroki. Acara itu menjadi wadah bagi umat untuk mempererat hubungan persaudaraan dan meraikan kemerdekaan dalam sukacita, serta terus menghayati nilai-nilai rohani dan kebangsaan.
Sambutan tahun ini mengangkat tema “Berdaulat, Adil dan Makmur”, yang menjadi doa dan harapan bersama bagi masa depan bangsa. Kehadiran umat tempatan mencerminkan kesatuan hati dalam naungan kasih persaudaraan. Suasana sambutan menunjukkan komitmen komuniti Indonesia di perantauan untuk terus menjaga semangat kekeluargaan dan kesaksian iman dalam kehidupan seharian.













































