
PAITAN – Seramai 37 katekis pembimbing menyertai Rekoleksi Kateketikal paroki Our Lady of Fatima (OLOF), Beluran di Mission St Francis of Assisi, Paitan, pada 24–25 Ogos.
Rekoleksi itu menghimpunkan para katekis pembimbing dari Gereja St Paul Ulu Dusun, Gereja Emmanuel Jaya Bakti, Gereja St Anthony Bukit Garam dan Gereja Our Lady of Fatima Beluran.
Program tersebut diadakan untuk memberikan penyegaran rohani kepada para katekis pembimbing yang memainkan peranan penting dalam pelayanan dan pembinaan iman umat.
Di tengah-tengah kesibukan menjalankan tanggungjawab, rekoleksi itu memberi peluang kepada para peserta untuk berhenti sejenak, mendekatkan diri kepada Tuhan, merenungkan kembali panggilan mereka serta berkongsi pengalaman pelayanan dalam semangat persaudaraan.
Pada hari pertama, para peserta mengikuti beberapa sesi pengisian, termasuk sesi bertajuk “Peranan Saya sebagai Katekis Pembimbing” yang disampaikan oleh Fr Stephen Esguerra. Program diteruskan dengan perbualan rohani, persiapan dan perayaan Misa Kudus serta Saat Suci. Sesi bertajuk “Kerohanian Seorang Katekis Pembimbing” pula dikendalikan oleh Seminarian Edward Yahan.
Program pada hari kedua bermula dengan doa pagi disusuli dengan sesi “Saya dan Panggilan sebagai Katekis Pembimbing” yang turut dikendalikan oleh Seminarian Edward.
Para peserta kemudiannya diberi ruang untuk melakukan renungan peribadi, mengikuti perbualan rohani serta menyertai sesi soal jawab bersama Fr Stephen.
Kemuncak rekoleksi ialah Misa Kudus dan pengutusan para katekis dirayakan oleh Fr Stephen dan Fr Arthur John.
Pengutusan itu memperbaharui komitmen para katekis pembimbing untuk kembali melayani umat dengan semangat baharu serta menghayati tugas mereka sebagai suatu panggilan.
Seorang katekis bukan sahaja dipanggil untuk menyampaikan pengetahuan tentang iman, tetapi juga untuk menjadi saksi Kristus melalui kehidupan, kasih, kesetiaan dan pelayanan kepada sesama.
Selaras dengan semangat “Bersama Membina Katekis yang Beriman, Berilmu dan Berwibawa”, rekoleksi itu diharapkan dapat memperkukuh kesatuan serta semangat pelayanan para katekis pembimbing di seluruh paroki OLOF Beluran. – Herald Malaysia









































