
Oleh Maria Anthony
PULAU PINANG – Lebih 400 umat berhimpun di Gereja Katolik Risen Christ, Air Itam, pada 27 Jun lalu bagi meraikan Misa Kudus Kesyukuran Kaamatan, Gawai dan Panen (KAGAPA) bertemakan “Dari Sawah ke Altar: Bersyukur atas Berkat Tuhan.”
Perayaan itu menggabungkan warisan budaya dan iman dalam semangat kesyukuran kepada Tuhan. Majlis dimulakan dengan upacara simbolik Monutuh Do Parai (Menumbuk Padi), apabila paderi paroki, Friar Crispus Mosinoh OFM, menumbuk padi sebanyak tujuh kali sebagai tanda kesyukuran atas hasil tuaian dan segala berkat Tuhan.
Dalam homilinya, Friar Crispus menegaskan bahawa Kaamatan, Gawai dan Panen bukan sekadar perayaan budaya, tetapi ungkapan syukur kepada Tuhan, Pencipta langit dan bumi.
Beliau turut mengajak umat menghayati semangat Tahun Santo Fransis dari Assisi dengan memelihara alam ciptaan, selaras dengan semangat Laudato Si’, serta meraikan setiap perayaan dengan kesederhanaan, kasih, perpaduan dan semangat saling berkongsi.
Beliau mengingatkan bahawa kemuncak segala kesyukuran ialah Perayaan Ekaristi, apabila umat mempersembahkan seluruh kehidupan dan hasil usaha kepada Tuhan.
Selepas Misa Kudus, umat berhimpun di Dewan Fr Peter Shyu untuk menikmati hidangan tradisional Borneo dan tempatan yang disediakan oleh Apostolat Bahasa Malaysia. Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dan cabutan bertuah sebelum berakhir dalam suasana penuh sukacita dan persaudaraan. – Herald Malaysia













































