Fr Roney Mailap menyerahkan sumbangan kepada keluarga mangsa bencana banjir bersama AJKT MPP St Anthony Tenom dan AJKT MPM Mission Kemabong.
Oleh Florence Tisha Jossillin
June 9 2021
KEMABONG – “Penat, namun sungguh membahagiakan apabila melihat senyuman mereka” itulah kata-kata yang terpancar dari wajah-wajah sukarelawan ahli Badan Tindakan Sosial (BTS) Gerak Gempur Bencana Banjir Mission Kemabong selepas menghantar bantuan Solidariti kepada mangsa bencana banjir 22 Mei lalu.
Badan ini keluar membantu mangsa banjir bersama paderi Paroki Fr Ronnie Alfred Luni, pembantu paderi Fr Roney Mailap dan Fr Anthony Mikat, Sr Lucynia Jeprin FSIC serta barisan ahli Majlis Pastoral Mission Kemabong.
Kejadian bencana banjir yang melanda daerah Kemabong pada 19 Mei lalu telah menjejaskan beberapa kawasan sehingga segala harta benda mengalami kerosakan, makanan dan minuman serta pakaian telah hanyut. “Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”, perumpamaan inilah yang sesuai menjelaskan keadaan yang berlaku di Kemabong.
Badan Tindakan Sosial (BTS) Mission Kemabong melaksanakan Gerak Gempur Bencana Banjir untuk memohon dan mengutip derma bermula pada 22 Mei sehingga 22 Jun 2021.
Melalui kejadian ini, umat Katolik di seluruh keuskupan dan luar keuskupan bersama-sama berganding bahu menghulurkan bantuan seperti pakaian terpakai, makanan dan minuman serta wang ringgit bagi meringankan beban para umat yang terkesan.
Bantuan Solidariti yang diterima dari seluruh umat Katolik bersesuaian dengan visi Keusukupan Keningau “Umat Allah Berjalan Bersama Dalam Kesatuan, Kesetian dan Kekudusan Yesus Kristus.”
Bergambar bersama selepas menghantar sink dan poleout kepada keluarga mangsa bencana banjir di Kuala Tomani.