Gambar beramai-ramai para baptisan pada 20 Sep di Gereja Good Shepherd
Oleh Bobby Jaikol | SOCCOM MGSM (bobbyjaikol@soccomgsm)
Sep 22 2020
MANGGATAL – Meskipun terlewat daripada jadual asal akibat daripada virus pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara, kini para calon baptis seramai 18 orang akhirnya menerima Sakramen Pembaptisan dalam Misa Kudus yang disempurnakan oleh Fr Mitchelly Kiun di Gereja Good Shepherd pada 20 Sept 2020.
Mereka mengucap syukur dan bersukacita kerana terbebas daripada dosa dan dilahirkan semula melalui pembaptisan menjadi putera-puteri Allah yang baru dan turut serta mengambil bahagian memikul salib Yesus agar diselamatkan.
Fr Mitchelly dalam homilinya mengingatkan kepada para baptisan baru untuk terus berkembang dalam kekudusan dan berkontribusi kepada pertumbuhan Gereja dalam pelayanan.
Walaupun jumlah baptisan baru pada tahun ini sedikit berbanding tahun-tahun sebelumnya, namun umat Gereja sangat terharu dan bersukacita dapat menyaksikan seorang ibu berserta dua orang anak, seorang bapa berserta tiga orang anaknya, pasangan adik beradik dan seorang dari denominasi lain (Basel) adalah di antara mereka yang menerima Sakramen Pembaptisan pada hari itu.
Baptisan baru ini akan menerima Komuni Pertama pada 27 Sept dan penerimaan Sakramen Penguatan dijadualkan pada 4 Okt 2020.