Misa pengutusan atas talian diadakan oleh rektor Katedral Hati Kudus, Fr Paul Lo pada 2 Feb (Pesta Yesus Dipersembahkan di Kenisah) untuk para katekis atau fasilitator dari Katedral, CMI dan St Paul Dontozidon yang melayani dalam pelayanan kateketikal
Oleh Catherine Wan
Feb 5 2021
KOTA KINABALU – Sempena perayaan Minggu Kateketikal tahun ini, rektor Katedral Hati Kudus, Fr Paul Lo telah mengadakan Misa pengutusan khas untuk semua guru-guru, fasilitator dan pembantu yang melayani dalam Pelayanan Kateketikal di Katedral, Church of Mary Immaculate (CMI), St Paul Dontozidon, St John Kopungit dan Our Lady Queen of Peace, Kobusak pada 2 Februari yang lalu.
Walaupun Fr Paul dikesan positif COVID-19 pada akhir tahun lalu dan dikuarantin selama sebulan, dia tidak pernah berhenti bekerja keras menjalani pelayanan pastoral umat Tuhan.
Seramai 294 katekis / fasilitator telah mendaftar untuk Misa secara atas talian ini walaubagaimanapun, hanya seramai 183 peserta yang direkodkan menyertainya.
Fr Paul memberkati sebanyak 17 lilin yang melambangkan 17 kumpulan kateketikal dari
tiga gereja utama – Katedral Hati Kudus, Church of Immaculate Conception, St Paul Dontozidon dan dua sub-paroki yang lain selepas pewartaan Injil.
Semasa liturgi Sabda, bacaan pertama dibaca dalam Bahasa Malaysia oleh Richard Angkis manakala bacaan kedua dibaca dalam bahasa Cina oleh Serena Wong. Injil diwartakan dalam bahasa Inggeris. Selepas itu, selebran Misa memberkati lilin yang diletakkan di depan gambar Madonna, melambangkan Bonda Maria, murid Kristus yang setia, dan adalah teladan bagi semua katekis untuk melayani di kaki Kristus dengan kasih. Para katekis disaran untuk mempersembahkan hidup dan pelayanan mereka untuk membawa orang-orang kepada Kristus seperti Bonda Maria.
Selepas lilin diberkati dan dinyalakan, selebran meneruskan homilinya dalam tiga bahasa pada Pesta Yesus Dipersembahkan di Kenisah di mana maknanya sesuai dengan panggilan para katekis untuk memperbaharui pengabdian mereka kepada Tuhan. Dia menggambarkan komitmen mereka seperti lilin yang menyala, membakar dirinya untuk menyinari orang lain.
Mereka perlu membuat pengorbanan untuk membawa anakdidik mereka mengenal Kristus. Fr Paul mengetengahkan renungan Bapa Suci Fransiskus tentang Injil; di mana dia menunjukkan tiga generasi yang ada di dalam teks Injil – Simeon dan Anna mewakili generasi tua, Joseph dan Maria mewakili ibubapa dan Yesus, Anak.
Fr Paul berkongsi bahawa ada seorang umat dari paroki Sandakan yang bersaksi bahawa kepercayaannya berasal dari datuk dan nenek dan penglibatan aktifnya di Gereja dipengaruhi oleh ibubapanya.
Datuk dan nenek mempunyai peranan mereka untuk menyampaikan kepercayaan mereka kepada cucu-cucu mereka sedangkan ibu bapa yang menjadi katekis utama perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam mengiringi perjalanan iman anak-anak mereka terutama semasa PKP di mana tidak ada kelas pembentukan iman secara fizikal pada hari Ahad.
Perkara itu ditegaskan dalam surat pastoral oleh Uskup Agung Julian Leow, Presiden Komisi Kateketikal Malaysia mengenai pentingnya ibu bapa dalam memberi keutamaan kepada pelajaran kateketik atas talian untuk anak-anak mereka.
Diharapkan mereka dapat meniru teladan ibubapa Yesus yang taat memelihara anak dalam pertumbuhan kebijaksanaan. Dia berdoa agar ibubapa dibimbing oleh Roh Kudus untuk menyampaikan iman kepada anak-anak mereka sehingga mereka bertumbuh menjadi seperti Kristus.
Selepas homili, seorang wakil bagi pihak Pelayanan Kateketikal dijemput untuk membacakan ikrar pembaharuan komitmen bagi pihak semua semasa upacara pengutusan: untuk berkomitmen dalam membina hubungan yang lebih mendalam dengan Kristus dalam menyampaikan kehadiran dan pesananNya kepada anakdidk melalui kata-kata dan perbuatan mereka. Selepas itu, selebran memberkati semua peserta atas talian.
Oleh kerana PKP telah dilanjutkan, para katekis diminta untuk mengadakan kelas atas talian dan memberi semangat anakdidik untuk menyertai Misa Minggu atas talian, seperti yang disarankan oleh rektor kepada para katekis di akhir Misa.
Bagi membantu para katekis untuk mempersiapkan diri semasa pengutusan tersebut, mereka telah menyertai program Triduum, iaitu Doa Rosari, Saat Teduh dan renungan ke atas pesanan Minggu Kateketikal yang diadakan pada malam 27-29 Jan secara langsung melalui laman Facebook Katedral Hati Kudus.
Triduum ini dianjurkan oleh Komisi Kateketikal Kota Kinabalu yang diketuai oleh Sr Dariah Ajap. Penasihat Rohani Komisi, Fr Nicholas Stephen juga telah memberikan ceramah kateketikal kepada para katekis pada 27-28 Jan pada jam 7.00 malam untuk ibubapa dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
Dalam tempoh PKP, katekis dari paroki di mana tiada pengutusan telah menyertai Misa atas talian Minggu Kateketikal oleh Fr Nicholas Stephen diikuti dengan pemberkatan dan pengutusan oleh Uskup Agung John Wong pada 31 Jan yang lalu.