Fanny Kinajil dan cucunya
Oleh Fanny Kinajil, Penampang
Jul 23 2021
Bapa Suci Fransiskus pada Hari Minggu Angelus 31 Jan, menubuhkan Hari Datuk Nenek dan Warga Tua Sedunia dengan perayaan pertama yang akan diadakan pada 25 Julai. Ia kemudian akan dirayakan pada setiap tahun pada minggu ke-empat bulan Julai selari dengan perayaan Santo Juakim dan Anna, datuk dan nenek kepada Yesus. Berikut adalah perkongsian seorang umat yang sudah bergelar nenek.
SALAM damai dan Tuhan berserta kita semua. Sempena dengan perayaan Hari Datuk Nenek dan Warga Tua Sedunia yang pertama pada 25 Julai, saya gembira diberi peluang untuk membuat perkongsian kehidupan saya sebagai seorang ibu dan nenek kepada keluarga saya.
Nama saya Fanny Kinajil berumur 56 tahun dan sedang mengajar di Montfort Youth Training Centre di Kinarut. Saya adalah seorang balu. Suami saya meninggal dunia pada tahun 2017. Setelah ketiadaan suami saya, saya membesarkan empat orang anak kami seorang diri. Tiga orang anak saya sudah bekerja manakala yang paling bongsu masih menuntut di kolej. Syukur kepada Tuhan, anak lelaki saya, Luke sudah berkahwin dan mengurniakan saya dengan dua cucu perempuan. Kini saya bergelar nenek!
Menyentuh dengan tema mesej Bapa Suci Fransiskus sempena dengan perayaan Hari Datuk Nenek dan Warga Tua Sedunia, “Aku selalu bersamamu” (Mat 28:20), saya menaruh keyakinan dan kepercayaan kepada Tuhan Yesus dan Bonda Maria di atas apa juga masalah atau kerumitan dalam hidup saya. Saya senantiasa membawa anak-anak saya berdoa rosari sejak mereka kecil lagi dan sehingga kini walaupun mereka sudah dewasa adalah kewajiban saya untuk bertanya dan mengikuti perkembangan iman mereka.
Membimbing anak-anak untuk berdoa dan mengajar tentang agama adalah sangat penting kerana mereka akan menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran di dalam hidup mereka. Tema “Aku selalu bersamamu” adalah kelembutan dalam kekeluargaan yang berasal dari hati. Ianya juga janji yang kita semua terima dari Tuhan dan kita masing-masing dipanggil untuk mengulanginya kepada keluarga dan saudara-saudara yang lain. Saya sungguh percaya bahawa Tuhan menunjukkan jalan kepada mereka yang percaya kepadaNya. Saya menaruh segala kepercayaan dan hidup saya kepadaNya.
Saya merasakan Tuhan mengingini saya untuk membawa anak-anak saya agar lebih dekat padaNya. Ini suatu cabaran bagi saya lebih-lebih lagi dalam masa pandemik COVID-19 ini
Dalam keterlibatan saya sebagai ahli Divine Mercy St Michael, Penampang dan saya juga adalah mantan Pengerusi Komuniti Katolik di kampung, saya merasai Tuhan senantiasa dekat dengan saya semasa saya dalam kesusahan. Saya percaya Tuhan sedang berkarya dalam hidup saya di mana pengalaman dan tanggungjawab yang saya alami telah mengajar saya untuk lebih dekat padaNya.
Saya merasakan Tuhan mengingini saya untuk membawa anak-anak saya agar lebih dekat padaNya. Ini suatu cabaran bagi saya lebih-lebih lagi dalam masa pandemik COVID-19 ini di mana ramai dari kita telah menyerah, sering dalam kesendirian dan tanpa pelukan dan ini termasuklah tidak boleh menghadiri Misa Kudus di Gereja dan hanya boleh mengikuti Misa secara maya. Teknologi moden dan kawan-kawan kepada anak-anak saya mengambil alih perhatian dan masa mereka. Walaupun begitu saya juga berusaha untuk mendorong mereka agar dapat mengikuti Misa secara maya itu.
Serahkan segala kepercayaan kamu kepadaNya, apabila kamu menghadapi kesulitan, masalah, kerumitan dalam hidup ataupun memilih jalan hidup kamu.
Bagi saya, perayaan pertama datuk nenek dan warga tua ini adalah titik permulaan kerana ia membawa dimensi keterbukaan untuk masa depan dan untuk setia kepada misi kita sebagai seorang yang dibaptis. Untuk itu, saya ingin mengongsikan kepada para belia dan anak-anak sekalian, bahawa Tuhan berada dalam hidup anda semua tanpa kamu menyedarinya.
Serahkan segala kepercayaan kamu kepadaNya, apabila kamu menghadapi kesulitan, masalah, kerumitan dalam hidup ataupun memilih jalan hidup kamu. Kerana Tuhan mahu kamu merasai kehadiranNya, maka itulah kadang-kadang kamu merasai sesuatu percobaan. Serahkanlah segalanya kepada Tuhan sambil berdoa dan berharap.
Sekian terima kasih! Tuhan bersama dan memberkati anda semua!