By Regional Biblical Commission of Malaysia, Singapore and Brunei (RBC)
July 11 2020
Kita hidup di sebuah perkampungan global di mana kita mudah berhubung antara satu sama lain melalui media sosial. Mengapakah perlu bersusah payah untuk bertemu dengan seorang secara langsung atau membuat panggilan telefon apabila kita hanya boleh menghantar e-mel atau mesej? Kadang-kadang kita terjebak dalam realiti maya ini sehingga kita berhubung secara impersonal dengan orang sekeliling, termasuk keluarga dan rakan kita.
Sudah menjadi kebiasaan pada hari ini kita melihat keluarga yang makan bersama tetapi mata tertumpu pada telefon bimbit mereka dan bukannya kepada orang di hadapan mereka. Ini kemudian boleh menyebabkan kita saling berhubungan antara satu sama lain pada tahap fungsional – apa yang dapat dilakukan oleh seseorang itu untuk kita, dan bukannya pada tahap perkaitan/hubungan – siapa orang itu bagi kita. Bagaimanakah kita berhubungan dengan Tuhan? Pada tahap fungsional atau hubungan?
Firman Tuhan ialah Perkaitan / hubungan, bukan Fungsional
Firman Tuhan bukan hanya konsep mental atau idea atau ungkapan pemikiran. Ia merupakanperibadi yang hidup, seseorang “yang telah kami dengar, yang telah kami lihat dengan mata kami, yang telah kami saksikan dan yang telah kami raba dengan tangan kami” (1 Yohanes 1:1), secara ringkasnya, Firman yang Hidup. Para Rasul sangat yakin bahawa apa yang disampaikan oleh mereka kepada kita bukanlah suatu ‘mitos’ ataucerita atau legenda atau falsafah atau beberapa sistem atau teori politik yang direka secara pintar, tetapi seseorang yang mempunyai hubungan intim mereka menjadi saksi-saksi (2 Petrus 1:16).
Mereka berharap kita juga ingin bersekutu “dengan Bapa dan dengan Anak-Nya” (1 Yohanes 1:3-4) – suatu hubungan peribadi yang hidup yang membawa sukacita. Paus Benediktus XVI mengingatkan kita bahawa, “Kepercayaan Kristian bukan hanya perkara mempercayai akan hal-hal tertentu itu adalah benar, tetapi di atas semuanya, hubungan peribadi dengan Yesus Kristus.” Beliau menambah, “Kita dapat menemui Kristus dalam membaca Kitab Suci, dalam berdoa dan dalam kehidupan liturgi Gereja. Kita dapat menyentuh Hati Kristus dan merasakan Dia menyentuh hati kita. Hanya dalam hubungan peribadi dengan Kristus dan dalam pertemuan dengan Yang Bangkit inilah kita benar-benar menjadi orang Kristian.”
Firman Tuhan memasuki Hubungan Peribadi yang Hidup dengan Kita
Setiap kali Firman Tuhan disebut, ingatlah, kita berbicara tentang peribadi yang hidup, bukan konsep. Setiap kali kita mengambil Alkitab, kita berhubungan dengan Yesus yang berbicara kepada kita dan ingin mempunyai hubungan peribadi dengan kita; kita sedang berbual dengan Yesus. Yesus berbicara kepada kita, kita mendengar; kita berbicara dengan Yesus, Firman Kehidupan yang diwartakan kepada kita (1 Yohanes 1:1) misalnya dalam liturgi. Kristus “hadir dalam Sabda-Nya, sebab Dia sendiri bersabda bila Kitab suci dibacakan dalam Gereja.”“Umat beriman harus percaya kepada Rahsia ini, merayakannya dan hidup darinya dalam satu hubungan yang hidup dan peribadi dengan Allah yang hidup dan benar. Hubungan ini adalah doa.”
Membaca Alkitab dengan Hati
Kita menggunakan fikiran untuk membaca surat khabar, majalah, atau mempelajari buku teks atau melakukan kerja penyelidikan untuk memperoleh lebih banyak pengetahuan; kita tidak menjalin hubungan peribadi dengan buku, majalah atau surat khabar. Kita tidak bercakap dengan mereka. Tetapi ketika kita membaca Firman Tuhan, kita datang dengan hati yang terbuka untuk menerima Dia (Yohanes 1:1, 12). Kita membaca atau mempelajari Firman Tuhan dengan hati kita, sama seperti fikiran kita. Semasa kita membaca Alkitab, kita menjalin hubungan peribadi dan intim dengan Yesus.
- Peribadi iaitu, dari peribadi ke peribadi, bukan mental atau konseptual, atau dari seseorang ke konsep, idea atau ke kumpulan pemikir dimana darinya kita dapat mengeluarkan idea atau fikiran indah dan mengambil dan memilih dan menggunakannya sesuka hati kita. Tidak, ia dari peribadi ke peribadi, dari Yesus yang mengasihi kita dan yang banyak mahu memberikan kepada kita, berkongsi dengan kita, menyatakan kepada kita “rahsia kerajaan syurga.” (Matius 13:11).
- Intim iaitu mengadakan perbincangan dari hati ke hati, seperti mengadakan perbualan antara dua orang berkasih, bertukar rahsia yang hanya diketahui oleh mereka berdua! Ia menjangkau dan menyentuh kedalaman keberadaan kita. Firman Tuhan menyembuhkan dan membebaskan kita daripada perhambaan, sama ada itu daripada segi emosi, fizikal atau rohani. “Sebab firman Allah hidup dan kuat dan lebih tajam dari pada pedang bermata dua mana pun; ia menusuk amat dalam sampai memisahkan jiwa dan roh, sendi-sendi dan sumsum; ia sanggup membezakan pertimbangan dan fikiran hati kita” (Ibrani 4:12).
Hubungan peribadi dan keintiman terjalin di dalam hati. Itulah sebabnya hati kita mesti terbuka dan menerima apa yang Yesus ingin menyatakan kepada kita. Dia mengatakan, “tidak seorang pun mengenal Anak selain Bapa, dan tidak seorang pun mengenal Bapa selain Anak dan orang yang kepadanya Anak itu berkenan menyatakannya” (Matius 11:27). Dalam perjalanan ke Kaisarea Filipi, Yesus mencabar murid-muridnya dengan bertanya, “Tetapi apa katamu, siapakah Aku ini?” (Matius 16:15) Hanya apabila kita mempunyai hubungan intim dan peribadi dengan Yesus, kita dapat mulai membuka hati kita kepada apa yang Tuhan ingin nyatakan kepada kita dan menjawab persoalan ini.
“Simon Petrus menjawab: ‘Engkau adalah Mesias, Anak Allah yang hidup!’ Kata Yesus kepadanya: ‘Berbahagialah engkau Simon bin Yunus sebab bukan manusia yang menyatakan itu kepadamu, melainkan Bapa-Ku yang di syurga’” (Matius 16:16-17). Kebenaran Tuhan sering tersembunyi daripada akal manusia, dan difahami dengan lebih baik hanya ketika Tuhan menyatakannya. Ketika Dia menyatakannya, kita harus siap menerimanya, seperti kedua orang murid yang dalam perjalanan menuju ke Emaus yang menemui Kristus yang Bangkit. Mereka berkata satu sama lain, “Bukankah hati kita berkobar-kobar, ketika Ia berbicara dengan kita di tengah jalan dan ketika Dia menerangkan Kitab Suci kepada kita?” (Lukas 24:32).
Firman Tuhan Menjadi Hidup dalam Roh Kudus
Terdapat hubungan yang erat antara Firman Tuhan dengan Roh Kudus. Malaikat Gabriel menampakkan dirinya kepada Maria dan mengabarkan kepadanya bahawa dia dipilih secara khusus oleh Tuhan untuk menjadi ibu kepada Yang Maha Tinggi (Lukas 1:32). Dia tidak dapat memahami bagaimana dia boleh menjadi ibu ketika dia masih seorang dara. Malaikat Gabriel meyakinkannya dengan mengatakan, “Roh Kudus akan turun atasmu dan kuasa Allah Yang Maha Tinggi akan menaungi engkau” (Lukas 1:35). Demikianlah bagaimana Firman Allah yang Abadi yang “segala sesuatu dijadikan Dia” (Yohanes 1:3), menjadi daging dan tinggal di antara kita (Yohanes 1:14) melalui kuasa Roh Kudus: Emmanuel –Allah menyertai kita (Matius 1:23).
Proses yang sama berlaku dalam Korban Misa. Imam memohon agar Roh Kudus turun ke atas roti dan anggur dan bersama-sama dengan kata-kata konsekrasi, Roh Kudus mengubah unsur-unsur ini menjadi Tubuh dan Darah Kristus. Dengan cara yang serupa, Roh Kudus menyelimuti rahim Maria dan Firman menjadi daging dan darah. Oleh itu, Yesus Firman Allah yang Abadi dihadirkan dan tinggal di tengah-tengah kita. Di mana ada Roh Kudus, di sana ada Firman Tuhan dan di mana ada Firman Tuhan, di sana ada Roh Kudus.
Melalui kuasa Roh Kudus, Firman Tuhan menjalin hubungan peribadi yang hidup dengan Maria. Seperti Maria, seluruh peribadi kita harus terbuka untuk menerima Roh Kudus agar Firman Tuhan menjadi daging dalam diri kita, iaitu, agar Tuhan berbicara kepada kita. Maria mengatakan kepada malaikat Gabriel, “jadilah kepadaku menurut perkataanmu itu” (Lukas 1:38). Apabila Firman Tuhan dihidupi, ia melepaskan kuasa agar hidup kita akan tersentuh, diperbaharui dan dipenuhi dengan tenaga dan kuasa baru. Atom mesti dipecahkan untuk membebaskan tenaganya.
Sebotol minyak wangi mesti dibuka untuk mengeluarkan harumannya. Tidak kira berapa banyak kita mengkaji bahagian luar botol dan mengetahui segala-galanya, tetapi jika ia tidak dibuka, aromanya tidak keluar. Sama juga dengan Firman Tuhan. Kita memerlukan Roh Kudus agar kita dapat menemui dan mengeluarkankhazanah Firman Tuhan yang tersembunyi. Seperti Maria, yang mempercayai dan merenungkan kedua-dua hal ini di dalam hatinya, demikian juga ketika kita bertindak berdasarkan Firman Tuhan, itu akan melepaskan kuasa-Nya untuk memungkinkan kita melaksanakan kehendak Tuhan.
Kesimpulan:
“Menjadi seorang Kristian bukanlah hasil daripada pilihan etika atau ide yang tinggi, tetapi pertemuan dengan suatu peristiwa, seorang peribadi, yang memberi kehidupan cakerawala baru dan arah yang muktamad.” Kehidupan Kristian bukan sekadar fungsional, tetapi bersifat hubungan. Ia merupakan satu pertemuan dengan peribadi Yesus yang hidup yang ingin berhubungan dengan kita secara peribadi dan intim, yang memungkinkan kita untuk melihat semua perkara dari sudut pandang Tuhan, untuk memiliki perspektif ilahi tentang semua perkara. Dia ingin memberi kita kehidupan dan kehidupan dalam segala kepenuhannya (Yohanes 10:10).
Membaca Alkitab dengan hati kita dengan kuasa Roh Kudus akan membuat kita tetap berhubungan dengan Yesus, memungkinkan kita untuk melihat apa yang dilihat-Nya, memikirkan apa yang difikirkan-Nya, dan menginginkan apa yang dia inginkan-Nya, untuk merasakan apa yang dia rasakan-Nya. Seperti Petrus, mari kita katakan kepadanya, “Tuhan, kepada siapakah kami akan pergi? Perkataan-Mu adalah perkataan hidup yang kekal.” (Yohanes 6:68).
Soalan untuk Renungan:
- Bagaimanakah kita berhubungan dengan Tuhan? Pada tahap fungsional atau perkaitan/hubungan? Mengapakah ini penting dalam kehidupan Kristian dan Gereja kita?
- Semasa kita membaca Alkitab, kita menjalin hubungan peribadi dan intim dengan Yesus. Bagaimanakah kita dapat menjadikan pembacaan Alkitab sebagai pertemuan hidup dengan peribadi Yesus?
Paus Benedict XVI, Mesej bagi Hari Belia Sedunia yang Ke-26 (2011).
Paus Benedict XVI, Pertemuan Umum (3 September 2008).
Sacrosanctum Concilium (Konstitusi Dogmatik tentang Liturgi), 7.
Katekismus Gereja Katolik, 2558.
Paus Franciskus, Sukacita Injil, 7.