
Oleh Nelson Fernandez
DONTOZIDON, Penampang – “Menghidupi Budaya Kaamatan dalam iman katolik dengan menuai berkat dalam kasih kristus” menjadi tema bagi perayaan pesta kaamatan peringkat Paroki St Paul Dontozidon yang berlangsung pada 16 – 17 Mei 2026.
Perayaan kaamatan bermula dengan acara sukan tradisi di tapak Gereja baru St Paul Nagasiba, Kg Sindaanan pada Sabtu, 16 Mei 2026 seawal jam 7.00 pagi bagi pendaftaran peserta yang diwakili oleh Komuniti Umat Katolik (KUK) St Paul Dontozidon dan Our Lady Queen of Peace (OLQP), Kobusak.
Sebanyak enam acara sukan tradisi dipertandingkan mengikut peringkat iaitu golongan kanak-kanak, belia dan dewasa. Antara acara sukan tradisi adalah momolositik, manandus, magapon botol, momohuvid piasau, manganit mundok dan manganit lugus.
Sebelum acara bermula, Fr Gilbert Marcus memimpin doa pembukaan dan merasmikan acara sukan tradisi dengan melakukan balingan kelapa ke arah botol sebagai tanda bermulanya sukan tradisi tersebut.
Turut serta dalam sukan tradisi ialah Msgr Nicholas Stephen, Rektor Paroki menyertai momolositik, manandus dan mogovit piasau. Hermes Sikajat, Pengerusi Majlis Pastoral Paroki (MPP) St Paul Dontozidon dan Margaretha Joikon, Pengerusi MPP Gereja OLQP, Kobusak juga menyertai sukan tradisi tersebut.
Walaupun keadaan cuaca agak panas, namun ia tidak menghalang umat ikut serta dalam sukan tradisi di mana kehadiran mencecah hampir 100 orang.
Acara sukan diakhiri dengan penyampaian hadiah oleh Fr Gilbert kepada semua pemenang, sesi bergambar, gotong-royong membersihkan kawasan dan ditutup dengan doa.
Keesokannya, acara kemuncak perayaan Misa Kudus Kaamatan di Gereja St Paul Dontozidon selaku tuan rumah dihadiri para umat dengan mengenakan pakaian tradisi dari suku Kadazan Dusun dan suku lain.
Misa Kudus itu dipimpin oleh Msgr Nicholas Stephen dibantu oleh Fr Terans Thadeus, diringi tarian sumazau dari kanak-kanak Pertemuan Minggu Gembira (PMG) dengan paluan togunggak ke pintu utama gereja disusuli lagu pembukaan dari koir.
Msgr Nicholas dalam homilinya mengingatkan bahawa pentingnya untuk menjaga adat warisan, menghormati dan saling memahami hidup dalam satu keluarga.
Selesai Misa, semua umat beranjak ke acara fellowship di dewan St Paul Dontozidon dengan tarian sambut tamu daripada belia bagi memulakan majlis kaamatan.
Mengetam padi, paluan gong dan nyanyian lagu kaamatan memeriahkan lagi majlis dengan rasminya diikuti doa makan yang dipimpin oleh Fr Terans.
Terdapat pelbagai acara menarik diadakan bagi memeriahkan lagi kaamatan seperti persembahan sumazau, pertandingan paluan gong, pertandingan sumazau, pertandingan makanan tradisi, unduk ngadau dazanak, sugandoi terbuka, teka berat kacang hijau dan cabutan nombor bertuah.
Lagu-lagu nyanyian selingan juga tidak ketinggalan untuk menghiburkan para umat dan tetamu yang hadir. Minuman tradisi juga ada disediakan seperti tumpung, lihing dan montoku.
Kemuncak acara kaamatan paroki diakhiri dengan tarian sumazau beramai-ramai dan acara selesai dengan doa penutup yang dipimpin oleh Fr Terans.









































