Selesai Misa Kudus Pembukaan Kalender Akademik Rumah Pembentukan, para klergi bergambar bersama enam orang aspiran yang akan duduk di Rumah Pembentukan baharu di Tatal pada 9 Ogos
Oleh Juanis bin Marcus
Aug 13 2021
TATAL, Keningau – Banyak perkara yang terkesan disebabkan oleh pandemik COVID-19 dan salah satunya adalah proses pembentukan untuk para aspiran. Mengambil ikhtibar ini, Keuskupan Keningau pantas untuk menubuhkan Rumah Pembentukan St Joseph.
Rumah Pembentukan ini berpusat di Rumah Retret Keuskupan Keningau, Tatal dan bertujuan khusus untuk membentuk dan mempersiapkan para aspiran yang tertangguh pembentukannya akibat COVID-19. Antara punca penangguhan adalah seperti kesukaran untuk mendapat visa ke luar negara sehingga memaksa para aspiran untuk belajar akademik secara maya sahaja.
Seramai enam orang aspiran dari Keuskupan Keningau dan Keuskupan Agung Kota Kinabalu; Boniface Petros, Micheal Mok, Constantine Olot, Fabian Jospeh, Freddy Razali Ikat dan Bonnyface Stephen akan dibentuk dan dipersiapkan dari segi akademik, kerohanian dan hidup berkomuniti di sini.
Antara pembentukan dari segi akademik yang akan dianjurkan secara langsung oleh Rumah Pembentukan Santo Joseph ini ialah Bahasa Inggeris, Bahasa Dusun, Bahasa Mandarin, Katekismus Gereja Katolik (KGK), Holistic Health and Wellness, Introduction to Liturgy and Devotion dan Spirituality.
Selain daripada itu, pembentukan akademik secara maya juga secara tidak langsung dianjurkan dari Sekolah Tinggi Katolik Indonesia (STIKAS) Santo Yohanes Salib, Bandol Seminari, Kalimantan Barat, Indonesia serta Kursus Persijilan Katekis Tahap 1 dari Pusat Pastoral Keuskupan (PPK) diikuti dengan kursus-kursus pembentukan akademik daripada Community Mission School – Pastoral School and Vocation Discernment Programme, MAJODI-IFFAASIA, Johor, Malaysia.
Semasa homili pada Misa Kudus Pembukaan Kalender Akademik Rumah Pembentukan ini pada 9 Ogos, Yang Mulia Uskup Cornelius Piong menjelaskan bahawa para aspiran yang terlibat sebenarnya sangat beruntung kerana dapat belajar bukan sahaja dari segi akademik, kerohanian tetapi juga hidup berkomuniti secara istimewa.
“Kalau dulu, kami hidup berkomuniti dengan kami-kami sahaja, dengan lelaki sahaja, tetapi di sini kita ada tiga komuniti, iaitu Kongregasi Betania, Sister Poor Clare dan sekarang aspiran, maka belajar hidup berkomuniti akan menjadi lebih istimewa,” ujar Uskup Piong.
Menurut pengasas merangkap Rektor Rumah Pembentukan ini, Fr David Gasikol, nama ‘St Joseph’s Formation House’ dipilih kerana ia ditubuhkan dalam masa Tahun St Joseph ini. Selain daripada itu, keperibadian St Joseph yang menjadi kepercayaan untuk menjadi ketua keluarga dan pelindung kepada Maria dan Yesus, atau Keluarga Kudus dari Nazareth itu juga menjadi sebab lain, mengapa nama St Joseph dipilih.
Menurut Fr David lagi, para aspiran ditekankan untuk menggunakan Bahasa Inggeris dalam perbualan harian mereka selain di dalam pembelajaran agar taraf kefasihan mereka dipertingkatkan dan memudahkan mereka dalam pembelajaran dan penyelidikan di seminari atau tempat pembentukan yang lain kelak.
Fr David juga mengucapkan terima kasih kepada semua penderma, tenaga pengajar dan semua yang terlibat kerana bukan sahaja membantu dalam penubuhannya tetapi juga kelangsungannya untuk terus dapat ditadbir urus dengan lancar.
Semoga dengan adanya Rumah Pembentukan ini, para aspiran dapat dibentuk dan dipersiapkan terus menerus untuk kekal bertahan dalam menyahut panggilan mereka menjadi seorang paderi.