
Oleh Seminarian Bonnyface Stephen
LIMBAHAU, Papar – Suasana penuh kesyukuran dan kegembiraan menyelubungi Paroki St Joseph, Papar dan Holy Rosary Limbahau apabila kedua-dua paroki itu meraikan majlis sambutan paderi paroki yang baru, Fr Paul Lo, serta paderi pembantu yang baru, Fr Florian Marcus. Majlis sambutan bagi St Joseph Papar telah diadakan pada 1 Feb 2026, manakala di Holy Rosary Limbahau pula mengadakan majlis yang serupa pada 8 Feb 2026.
Fr Paul Lo sebelum itu melayani sebagai paderi paroki di Katedral Sacred Heart, Kota Kinabalu. Sementara itu, Fr Florian Marcus sebagai paderi pembantu di Paroki St Joseph Husband of Mary, Kiulu.
Majlis sambutan di kedua-dua paroki dimulakan dengan ucapan alu-aluan daripada pengerusi Majlis Pastoral Paroki (MPP) masing-masing, iaitu Katekis Johnny Sitamin selaku Pengerusi MPP St Joseph, Papar dan Sylvester Joseph selaku Pengerusi MPP Holy Rosary Limbahau. Kedua-dua pengerusi sama-sama merakamkan rasa syukur atas anugerah Tuhan dengan kehadiran paderi-paderi yang baru itu, serta mengajak seluruh umat agar bersedia untuk bekerjasama dan berjalan bersama demi merealisasikan visi dan misi paroki.
Dalam ucapannya, Fr Florian merakamkan rasa syukur atas sambutan hangat yang diberikan oleh umat Paroki Papar terhadap kehadirannya. Beliau menyatakan kesediaan untuk melayani umat sepenuhnya selaras dengan setiap keputusan yang dibuat oleh paderi paroki.
Fr Paul Lo pula merakamkan rasa terima kasih yang ikhlas kepada seluruh umat St Joseph Papar dan Holy Rosary Limbahau atas sambutan mesra yang diberikan. Beliau turut mengakui jasa dan sumbangan paderi paroki terdahulu, Msgr Nicholas Stephen, yang telah menyediakan kemudahan bagi perkembangan iman umat di kedua-dua paroki melalui penubuhan Tujuh Pusat Ziarah Sakramen iaitu: St Joseph Papar (Pembaptisan), Holy Rosary Limbahau (Penguatan), St Damian Dambai (Ekaristi), St Kenneth Kelatuan (Imamat), St Anne Penampang Baru (Perkahwinan), St Monica Moindang (Pengurapan Orang Sakit), dan St Patrick Kinuta (Taubat).
Fr Paul menegaskan komitmennya untuk mengekalkan dan meneruskan ketujuh-tujuh pusat ziarah sakramen itu sebagai nadi kerohanian kedua-dua paroki.
Seterusnya, Fr Paul Lo turut memaklumkan rancangan untuk merayakan peristiwa yang berkaitan dengan setiap sakramen di pusat-pusat ziarah tersebut sepanjang tahun 2026. Bagi meraikan Hari Perkahwinan Sedunia, Misa Kudus telah diadakan pada 8 Feb 2026 di St Anne Penampang Baru, di mana seramai 80 pasangan telah memperbaharui janji perkahwinan mereka dan disaksikan oleh lebih daripada 300 umat yang hadir.
Seterusnya pada 11 Feb 2026, sempena Hari Orang Sakit Sedunia, Misa Kudus dan pemberian Sakramen Pengurapan Orang Sakit telah diadakan di St Monica Moindang bagi warga emas, mereka yang menghidap penyakit kronik, dan yang telah atau akan menjalani pembedahan besar. Setelah pemberian sakramen pengurapan selesai, diteruskan dengan pemberkatan bagi semua umat yang hadir yang mempunyai sakit yang ringan.
Untuk aktiviti yang akan datang pula, Novena Kerahiman Ilahi dan sebuah seminar Kerahiman Ilahi akan diadakan di St Patrick Kinuta sempena persiapan merayakan Hari Kerahiman Ilahi pada 12 Apr 2026. Sempena Minggu Panggilan pada 26 Apr 2026, sebuah kem panggilan akan diadakan di St Kenneth Kelatuan, di mana Fr Paul mencadangkan untuk mengundang para seminarian dari Initiation Year, St Peter’s College Kota Kinabalu, bagi mempromosikan panggilan kepaderian kepada belia di kedua-dua paroki di Papar.
Paroki Holy Rosary Limbahau pula akan menjadi tuan rumah bagi Novena kepada Roh Kudus yang akan diakhiri dengan pujian dan penyembahan pada 24 Mei 2026, sempena merayakan Hari Minggu Pentakosta. Pada 7 Jun 2026 sempena Hari Raya Corpus Christi, perarakan Sakramen Mahakudus akan diadakan secara berjalan kaki bermula dari St Damian Dambai menuju ke St Patrick Kinuta. Akhirnya pada 24 Jun 2026, Paroki St Joseph Papar akan meraikan Hari Lahir Yohanes Pembaptis sebagai penutup kepada rangkaian perayaan sakramen sepanjang tahun tersebut.
Sebagai penutup ucapannya, Fr Paul Lo mengingatkan kepada umat bahawa perubahan kepimpinan tidak bermaksud bahawa segala-galanya akan berubah dengan serta-merta. Sebaliknya, beliau menyatakan hasratnya untuk sentiasa berjalan bersama umat dalam semangat kekeluargaan dan persaudaraan sebagai satu paroki yang bersatu padu. Semoga dengan kehadiran Fr Paul Lo dan Fr Florian Marcus, semangat iman umat di Paroki St Joseph Papar dan Holy Rosary Limbahau terus subur dan berkembang demi kemuliaan Tuhan. Ad Majorem Dei Gloriam.












































