Penerangan tentang pemeriksaan dan saringan kesihatan (payudara dan Pap Smear)

Oleh Frances Unabia-Silveo

Mar 26 2024

SANDAKAN – Bersempena sambutan Hari Wanita Sedunia, Kerasulan Wanita Katolik (KWK) peringkat Paroki Katedral St Mary telah mengadakan rekoleksi Prapaskah pada 9 Mac 2024 lalu.

Seramai 36 ahli KWK dari Paroki Katedral St Mary dan tuan rumah, Gereja St Mark, serta empat jururawat terlatih dan seorang doktor mengambil bahagian dalam program itu.

Taklimat diberikan oleh Dr Ashten berkenaan pentingnya menjalani pemeriksaan dan saringan kesihatan (Payudara dan Pap Smear) di kalangan wanita, memandangkan negeri Sabah mencatat peratusan tertinggi wanita menghidap penyakit pangkal rahim berbanding negeri-negeri lain di Malaysia. Justeru, beberapa ahli KWK yang hadir mengambil kesempatan menjalani pemeriksaan payudara dan ujian Pap Smear.

Seterusnya, ucapan aluan telah disampaikan oleh Ketua Penyelaras Kerasulan Wanita Katolik Keuskupan, Cecelia D’Souza. Tema sambutan Hari Wanita Gereja adalah “Memberi Keutamaan dalam Wanita: Memacu Kemajuan (Invest in Women: Accelerate Progress). Tema ini menitikberatkan peranan penting wanita dalam aspek pendidikan, penjagaan kesihatan, pemerkasaan ekonomi dan pembangunan kepimpinan ke arah kesaksamaan jantina.

Cecelia secara rasminya telah memperkenalkan dan mengumumkan bahawa Sr Dorothy Aron sebagai Ex-officio KWK Keuskupan Sandakan.

Rekoleksi Prapaskah kemudiannya dimulakan dengan Pentakhtaan Alkitab beserta lagu-lagu pujian. Topik pilihan rekoleksi kali ini adalah “Krisis Iman” oleh Sr Dorothy Aron.

Sr Dorothy menekankan iman itu bukanlah sebuah perasaan tetapi membuka diri sepenuhnya secara radikal kepada kehendak Tuhan dalam pesanan Injil. Iman boleh diumpamakan seperti benih yang melalui proses pertumbuhan, menghasilkan buah, menjadi terang dalam kegelapan dan garam yang memberi rasa dan erti dalam kehidupan manusia.

Ahli-ahli yang hadir dijemput merenung krisis yang melanda iman umat-umat Katolik dewasa ini, iaitu penyakit batin. Contohnya, semasa mengandung, seseorang ibu yang tidak sedar/tidak tahu tentang penyakit batin yang dihidapnya, boleh “memindahkan” penyakit ini kepada anak yang dikandungnya. Oleh itu, penyakit batin ini boleh menjadi salah satu penyumbang kepada krisis-krisis iman lainnya yang kita lihat di zaman ini, seperti ketagihan alkohol, kecenderungan membunuh diri, krisis seksual dan sebagainya.

Rekoleksi diakhiri dengan nyanyian kesyukuran, penyampaian cenderahati, doa penutup dan bersama-sama menjamu juadah yang disediakan secara potluck. – Dospo

Para peserta bergambar selepas rekoleksi Prapaskah selesai