
Oleh Sr Chennisia Seting, SSFS
KLANG – Program Teologi Tubuh (Theology of the Body, TOB) pertama yang dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu telah berlangsung di Gereja Our Lady of Lourdes baru-baru ini, menghimpunkan 42 peserta, kebanyakannya merupakan calon Krisma daripada pelbagai paroki di Keuskupan Agung Kuala Lumpur.
Program sehari yang berlangsung pada pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang itu menampilkan Brian Jude Lazaroo sebagai penceramah utama.
Ia dianjurkan bagi membantu pembentukan rohani dan peribadi para remaja melalui penghayatan ajaran Teologi Tubuh yang diperkenalkan oleh Bapa Suci Sto Yohanes Paulus II.
Sepanjang program, para peserta mengikuti empat sesi utama yang mengupas identiti manusia, kasih sejati, tujuan hidup dan cabaran menghidupi iman dalam dunia moden.
Sesi pertama bertajuk “Mengapa Saya Diciptakan?” mengajak para peserta merenungkan asal-usul dan identiti mereka sebagai ciptaan Tuhan.
Setiap manusia diciptakan secara unik dan dipanggil untuk menjalin hubungan peribadi dengan Tuhan.
Melalui sesi “Apakah Erti Kasih yang Sejati?” peserta didedahkan kepada makna kasih menurut Teologi Tubuh.
Penceramah menjelaskan bahawa kasih sejati bukan sekadar perasaan, tetapi pemberian diri yang tulus, setia dan bertanggungjawab.
Beliau turut menekankan kesucian tubuh sebagai anugerah Tuhan serta panggilan untuk menghormati maruah diri sendiri dan orang lain.
Sesi ketiga, “Apakah Tujuan Hidup Saya?” memberi peluang kepada para peserta merenungkan panggilan hidup mereka melampaui pencapaian duniawi.
Mereka diingatkan bahawa matlamat utama kehidupan ialah bertumbuh dalam kekudusan, membina hubungan yang akrab dengan Tuhan dan sesama, serta melaksanakan misi yang telah dipercayakan oleh Tuhan kepada setiap individu.
Program diakhiri dengan sesi “Bagaimana Saya Hidup dalam Dunia Masa Kini?” yang menyentuh cabaran kehidupan remaja pada era digital.
Antara topik yang dibincangkan ialah penggunaan media sosial, persahabatan, percintaan, membuat keputusan yang bijaksana serta kekal teguh mempertahankan nilai-nilai Kristian dalam masyarakat yang semakin mencabar.
Sebelum bersurai, para peserta mengambil bahagian dalam sesi soal jawab yang memberi ruang untuk mengemukakan pertanyaan serta berkongsi pandangan berhubung isu-isu yang dibincangkan. – Herald Malaysia














































