
Oleh Clarence Dol
RANAU – Seramai 61 katekumen diterima masuk ke dalam Gereja Katolik dalam Upacara Penerimaan yang diadakan semasa Misa Kudus Kedua di Gereja St Peter Claver Ranau pada 19 Jul 2026.
Para katekumen berkenaan akan melalui proses pembelajaran dan pertumbuhan iman sebelum menerima Sakramen Pembaptisan pada masa yang telah ditetapkan. Paderi Paroki St Peter Claver Ranau, Fr Ambrose M Atang, mengalu-alukan kebersamaan mereka serta mendoakan agar mereka terus tabah melalui setiap proses sehingga menerima pembaptisan kelak.
Dalam homilinya, Fr Ambrose mengajak umat mempercayai kebijaksanaan dan belas kasihan Tuhan yang sentiasa memberikan peluang kepada setiap insan untuk bertaubat, memperbaharui kehidupan dan kembali kepada-Nya.
Beliau berkata, Tuhan yang berkuasa atas segala sesuatu memilih untuk menunjukkan kasih dan belas kasihan, sekali gus memberikan harapan kepada setiap manusia. Menurutnya, manusia sering berasa lemah dan tidak mengetahui cara berdoa dengan sempurna, namun Roh Kudus membantu kelemahan tersebut serta membimbing umat menuju kehendak Tuhan.
Menyentuh perumpamaan lalang di tengah gandum dalam bacaan Injil, Fr Ambrose menjelaskan bahawa kehidupan manusia sentiasa memperlihatkan kewujudan kebaikan dan kejahatan. Tuhan tidak terburu-buru menghukum manusia, sebaliknya memberikan masa dan kesempatan untuk berubah serta bertaubat.
Beliau turut mengingatkan umat supaya tidak cepat menghakimi sesama sendiri kerana hanya Tuhan yang mengetahui isi hati setiap insan dan waktu yang tepat untuk penghakiman.
Katanya, setiap orang mempunyai kelemahan dan cabaran, namun Tuhan tidak pernah meninggalkan umat-Nya. Roh Kudus menjadi penolong dan pembimbing yang menguatkan iman serta membantu umat terus bertumbuh dalam kasih Tuhan.
Fr Ambrose menyeru umat supaya membuka hati kepada Sabda Tuhan, menjadi saksi kasih Kristus serta membawa iman, harapan dan kasih melalui perbuatan seharian.
Selepas Misa Kudus, diadakan Majlis Kesyukuran Jubli Perak Sr Mary Frances, P. Karm dan Kaul Pertama Bro Jovian Marie, CSE di Holy Family Hall. Kedua-duanya merupakan biarawan dan biarawati kelahiran Paroki Ranau.










































