
Oleh Stanley Ung
MANGGATAL – Gereja Katolik bersama-sama umat beriman di seluruh dunia memperingati Hari Minggu Migran dan Perantau Sedunia ke-112 pada 27 Sept 2026 dengan memberi perhatian khusus kepada nasib kanak-kanak dan remaja yang terlibat dalam pengalaman penghijrahan dan perpindahan. Tema sambutan tahun ini ialah “Walaupun hanya salah seorang daripada kanak-kanak Ini”, yang berakar daripada ajaran Yesus dalam Injil Matius 18:5.
Tema tersebut mengajak umat untuk melihat setiap kanak-kanak bukan sekadar sebagai angka dalam statistik migrasi, tetapi sebagai seorang manusia yang mempunyai maruah, hak, impian dan masa depan. Dalam pesanan sempena Hari Minggu Migran dan Perantau Sedunia ke-112, Bapa Suci Leo XIV memberi perhatian khusus kepada kanak-kanak migran kerana golongan ini merupakan antara kelompok paling terdedah kepada situasi dalam penghijrahan dan perpindahan. Jutaan kanak-kanak dan remaja terpaksa meninggalkan tempat asal mereka akibat peperangan, kemiskinan, keganasan, bencana alam dan pelbagai tragedi lain. Ada di antara mereka kehilangan ibu bapa atau ahli keluarga, mengalami perpisahan, serta berdepan keadaan perjalanan yang traumatik.
Dalam pesannya, Bapa Suci mengingatkan bahawa penderitaan kanak-kanak migran tidak berakhir apabila mereka tiba di tempat baharu. Mereka masih berhadapan dengan risiko eksploitasi, pemerdagangan manusia, keganasan, pengasingan dan penolakan. Justeru, perlindungan terhadap mereka merupakan tanggungjawab bersama keluarga, masyarakat, institusi awam dan komuniti Gereja.
Pesanan bapa suci juga mengingatkan bahawa Gereja dipanggil untuk menjadikan penerimaan bukan sekadar satu konsep, tetapi suatu amalan pastoral yang nyata dan berterusan. Komuniti Kristian hendaknya melihat kanak-kanak migran dan pelarian sebagai sebahagian daripada keluarga Gereja serta membina ruang pertemuan, persahabatan dan integrasi antara anak-anak tempatan dengan anak-anak migran.
Baca berita penuh dalam Catholic Sabah Vol 69 No 20 bertarikh Okt 18 2026.







































