Antara penerima sakramen Ekaristi semasa Hari Raya Tubuh dan Darah Kristus

Oleh Soccom Kateketikal

Jul 6 2023

TELUPID – Seramai 139 orang calon telah menerima Sakramen Ekaristi sempena perayaan Tubuh dan Darah Kristus pada 11 Jun lalu di gereja St Martin Telupid yang disempurnakan oleh paderi paroki, Fr Christopher Ireneus.

Rekoleksi singkat untuk para pembimbing, ibu bapa dan calon diadakan sehari sebelum upacara berlangsung. Dalam rekoleksi itu, paderi paroki menekankan tentang peranan ibu bapa penting untuk memastikan perkembangan iman anak-anak serta mengajak para calon untuk memahami dengan lebih mendalam tentang Sakramen Ekaristi.

Di samping itu, sesi perkongsian dalam kumpulan juga diadakan untuk membincangkan soalan-soalan berkaitan Sakramen Ekaristi dan diteruskan dengan sakramen pengakuan dosa bagi para calon.

Beberapa soalan renungan diajukan kepada ibu bapa dalam homili Fr Christopher seperti adakah ibu bapa pernah bertanya kepada anak mengenai perkembangan pelajaran mereka dalam aspek kerohanian? Pernahkah ibu bapa berdoa bersama anak-anak ataupun melihat anak mereka berdoa? Adakah ibu bapa pernah menjelaskan kepada anak-anak mengenai sakramen-sakramen dalam Gereja Katolik dan apakah keperluan untuk menerima sakramen-sakramen tersebut?

Sekiranya ibu bapa kurang memainkan peranan dalam membimbing dan mengambil tahu akan perkembangan iman anak-anak serta tidak menunjukkan teladan yang baik dalam hal-hal kerohanian, tidak mustahil suatu hari nanti anak- anak akan mudah terpengaruh dengan anasir-anasir jahat. Anak-anak merupakan generasi pelapis dalam pelayanan gereja, dalam tempoh beberapa tahun akan datang tiada lagi yang datang beribadat jika iman mereka beransur-ansur hilang.

“Hari ini anak-anak akan menerima tubuh dan darah Kristus. Mereka telah disatukan dengan kita semua dalam perjamuan suci. Anak-anak ini mungkin masih kurang pemahaman tentang sakramen ini, namun dalam memastikan pertumbuhan iman mereka, kita perlu terus “Berjalan Bersama” dengan mereka sehingga mereka diyakinkan dengan pengalaman peribadi yang akan menemukan mereka dengan Yesus Kristus.” Demikianlah kata-kata akhir daripada Fr Christopher sebelum mula masuk dalam Upacara Penerimaan Komuni Kudus Pertama. – dospo

Upacara penerimaan sakramen Ekaristi