Sebahagian peserta berpasangan yang menyertai kursus pra-perkahwinan

Oleh Eva Matanding

Jan 27 2022

KOTA BELUD – Sejak Covid-19 melanda seluruh dunia sekitar dua tahun ini, banyak aktiviti mahupun majis-masjlis rasmi kerajaan tertangguh atau langsung tidak diadakan demi mencegah penularan virus ini kepada ramai orang.

Walaubagaimanapun dalam keadaan yang masih belum pulih sepenuhnya kerajaan sudah mulai membenarkan beberapa aktiviti dan majlis dengan syarat sudah menerima sekurang-kurangnya dua dos vaksin dan mengikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

Rumah ibadat juga mulai dibuka dan sebahagian aktiviti/program sudah boleh diadakan, antaranya ialah penganjuran kursus Pra-Perkahwinan yang mana sudah lama dinantikan oleh ramai orang yang mahu melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat ini.

Program ini telah diadakan pada 15-16 Januari 2022 di Paroki St Edmund, Kota Belud yang dianjurkan oleh Komiti Kerasulan Keluarga Katolik Paroki.

Seramai 25 pasangan mengambil kesempatan untuk mengikuti program itu bermula dengan pendaftaran, suaikenal dan taklimat.

Sesi pertama bertajuk “Sakramen perkahwinan dan undang-undang perkahwinan dalam konteks Gereja Katolik” telah disampaikan oleh Paderi Paroki, Fr Ambrose A Atang, disusuli dengan sesi kedua “Tanggungjawab Ibu bapa Kristian dalam Keluarga” yang disampaikan oleh Yamil Suni dan Muni Gumbiled. “Teologi Tubuh dan Kerohanian Kehidupan Keluarga Kristian” merupakan tajuk dalam sesi ketiga oleh Jane Janiati dan sesi seterusnya adalah “Ekonomi dalam Keluarga Menurut Alkitab” oleh Jinuin Victor.

Semua sesi ini disampaikan pada hari pertama dan setiap sesi diselangi dengan sanitasi sebagai salah satu daripada SOP.

Hari kedua dimulakan dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr Ambrose dan disusuli dengan lima lagi sesi berkaitan “Kasih sayang dan seks/berkomunikasi dalam perkahwinan”, Kaedah perancangan keluarga semulajadi/Thalasemia”, masing-masing disampaikan oleh Jinuin Victor, Theresa, Johan Gidin dan Judith Shammi.

Program diakhiri dengan penyampaian sijil dan sesi bergambar.