
Oleh Peter Zeter
INANAM – Sempena sambutan Hari Komunikasi Sedunia (WCD) ke-59 pada 1 Jun 2025, semua ahli Komiti Komunikasi Sosial (SOCCOM) dari hampir semua paroki di Keuskupan Agung Kota Kinabalu, berkumpul di Gereja St Catherine, Inanam untuk mengambil bahagian dalam perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Uskup Agung John Wong.
Turut hadir dalam perayaan itu ialah Msgr Nicholas Stephen selaku Penasihat Rohani untuk Komisi Komunikasi Sosial dan Pengarang kepada Catholic Sabah, Fr David Sham, Paderi Paroki bersama-sama dengan ahli Majlis Pastoral Paroki, ahli Komisi Komunikasi Sosial Keuskupan Agung serta umat setempat.
Perayaan Ekaristi yang bermula pada jam 9.00 pagi dimulakan dengan perarakan masuk oleh semua ketua SOCCOM paroki, membawa sepanduk masing-masing, diikuti oleh pelayan Liturgi. Menambah seri kepada perayaan itu apabila ramai umat yang hadir berpakaian tradisional Kadazan-Dusun termasuklah ahli SOCCOM.
Menghubungkan mesej Injil dengan perayaan WCD, prelatus menjelaskan bahawa ketika Yesus dalam perjalanan salib, Dia berdoa untuk semua umat manusia.
“Yesus berdoa bukan sahaja untuk murid-murid dan pengikut-pengikut pada zamanNya, tetapi juga untuk semua yang percaya kepadaNya. Oleh itu, kita percaya bahawa apabila Yesus berdoa kepada Bapa di Getsemani, Dia juga berdoa untuk kita yang percaya kepadaNya. Kedua, Yesus juga berdoa untuk kesatuan di kalangan orang beriman.
Adakah kita bersatu atau individualistik? Adakah keluarga kita bersatu? Adakah komuniti kita atau paroki kita bersatu? Tuhan tidak mahu kita berpecah belah,” kata Uskup Agung itu.
Menjelang akhir Misa, semua ahli SOCCOM menerima pemberkatan khas daripada Uskup Agung John Wong.
Semasa ucapannya, dalam mengulas tema Hari Komunikasi Sedunia ke-59, ‘Berbagilah dengan lemah lembut harapan yang ada dalam hati anda’ (1 Petrus 3:15-16), uskup agung berkata bahawa seseorang hanya boleh berkongsi apa yang dia ada.
”Mari kita melihat ke dalam kehidupan kita dan bertanya kepada diri sendiri apa yang kita ada.”
Dia seterusnya menjelaskan bahawa dengan kebangkitan Kristus, kita diberi harapan dan lebih daripada sebelumnya, dunia kini memerlukan harapan. ”Adakah kita mempunyai harapan itu dalam hidup kita? Jika tidak, bagaimana kita boleh berkongsi dengan dunia?”
Uskup Agung memberi semangat kepada ahli SOCCOM, ”Saya berdoa agar anda akan terus berkhidmat di paroki masing-masing untuk melaksanakan dengan baik panggilan anda.”
Acara diteruskan di Dewan Paroki dengan makan bersama dan pelbagai persembahan pentas. Antara persembahan yang menarik ialah tarian tradisional oleh komuniti migran Indonesia.
Baton untuk menganjurkan perayaan tahunan itu kemudiannya disampaikan kepada St Peter’s Claver, Ranau sebagai paroki yang akan menjadi tuan rumah WCD 2026.