Peserta CSG-UMS dalam program “Coping with RMCO in Campus (CRC)”
Oleh CSG-UMS
10 Okt 2020
Markus 11:24, “Kerana itu aku berkata kepadamu, apa saja yang kamu minta dan doakan, percayalah bahwa kamu telah menerimanya, maka hal itu akan diberikan kepadamu”.
KOTA KINABALU – Catholic Student Group – Untuk Melayani Sesama (CSG-UMS) telah menganjurkan program “Coping with RMCO in Campus (CRC)” pada 4, 7 dan 10 Oktober yang bertujuan membawa peserta melihat kesan RMCO* serta pendedahan tentang skil untuk menangani cabaran norma baharu.
Dalam sesi renungan tema, Kelly Celestine dari Ministri Kampus Keuskupan Agung KK telah memberi peneguhan kepada peserta untuk “tetap setia di dalam doa walaupun rasa penat dan hampir putus asa”. Sesi DAS (Depression, Anxiety and Stress) Management yang disampaikan oleh Daria binti P. Joseph dari Komisi Kehidupan Keluarga (Family Life) Keuskupan Agung KK, menjelaskan bahawa masalah kesihatan mental memberi implikasi besar terhadap kesihatan tubuh badan.
Alexander Paulus Jiran, Koordinator Belia dari Kota Belud, dalam sesi Time Management, menekankan akan pentingnya pengurusan masa dan mengongsikan tips bersikap tegas dalam pengurusan masa. Dalam sesi Technological Managament, Roney Eming dari Keuskupan Keningau telah menerangkan bahawa penggunaan teknologi tidaklah membataskan penghayatan dan pelayanan kita serta menjadikan Blessed Carlo Acutis sebagai contoh dalam menggunakan kemahiran teknologi dalam pelayanan.
Sesi You are My Beloved yang disampaikan oleh Encik Adaris Moses Sintan dari Paroki Katedral St Mary Sandakan, membawa peserta merenung dan melihat kesulitan hidup dalam norma baharu melalui kaca mata iman dan kewujudan cinta kasih dari Tuhan dalam setiap penderitaan yang kita alami.
Program CRC ini turut menampilkan persembahan dalam bentuk filem pendek yang bertajuk “Faith, Hope and Love” di mana ia menyentuh beberapa contoh situasi pelajar kampus menghadapi norma baharu dan menunjukkan bahawa hidup doa merupakan sumber kekuatan dalam mengharungi cabaran kehidupan.
Semoga program ini berjaya memberikan input yang bermanfaat kepada para peserta khususnya dalam menyebarkan cinta kasih Allah, serta menguatkan lagi iman kepercayaan mereka dalam mengharungi norma baharu pada ketika ini.
Perkongsian daripada peserta program
Kehidupan di kampus amatlah berlainan dengan keadaan di alam persekolahan menengah/rendah. Tugasan yang diberikan adalah pelbagai, jadual juga sangat ketat. Oleh itu, masa untuk “procrastinate” kurang. Input pengurusan masa membantu saya untuk melihat keutamaan dalam setiap perkara yang perlu dilakukan setiap hari. – Duncan Cyril
Sesi tentang kesedaran mental sangat bermanfaat bagi saya untuk lebih berhati-hati dengan diri sendiri dan juga orang sekeliling saya. Program ini juga beri kesedaran akan norma baharu yang mencabar dan pentingnya pengurusan masa itu. – Raphella
*RMCO – Restricted Movement Control Order