Uskup Cornelius Piong, Keuskupan Keningau

Oleh Linda Edward

9 Ogos 2020

KENINGAU – Dalam apa pun keadaan hidup yang dihadapi sekarang sama ada ianya berkaitan politik, penyakit, bencana alam dan sebagainya, Uskup Cornelius Piong menasihati umat agar mengarahkan hati kepada Yesus dan terus percaya kepadaNya.

“Pada masa ini pandemik COVID-19 sangat merisaukan ramai orang. Keadaan ekonomi tidak menentu dan ramai orang kehilangan pekerjaan. Masa depan anak-anak merisaukan ibu bapa,” katanya.

Uskup juga menyentuh tentang pilihan raya yang bakal diadakan di Sabah, di mana terdapat banyak hal yang merisaukan para pemimpin dan rakyat.

“Apakah pilihan raya akan dijalankan secara adil dan demokrasi atau masih seperti biasa di mana kuasa wang digunakan untuk membeli undi serta lain-lain perbuatan dan strategi yang tidak adil dan tidak jujur?” ujarnya.

Di dalam surat pastoralnya yang terbaharu pada 9 Ogos, Uskup Cornelius berkata pengalaman hidup yang menakutkan ini boleh melumpuhkan kita sekiranya tumpuan kita lebih kepada masalah.

“Sebagai pengikut dan murid Yesus, kita perlu yakin bahawa Dia menyertai dan mendampingi kita dalam apa pun keadaan yang kita hadapi sepanjang perjalanan hidup dan iman,” kata Uskup.

Katanya umat digalakkan terus berdoa dalam pelbagai cara yang telah diajar Gereja seperti Misa Kudus dan Adorasi serta mengikuti seminar atau rekoleksi untuk pembentukan iman.

Uskup Cornelius juga menekankan kepentingan menjalankan tanggungjawab sosial, “Kita dituntut turut serta dalam memperjuangkan keamanan, keadilan dan cinta kasih.

“Seperti garam dan cahaya kita membawa pengaruh-pengaruh yang baik dan nilai-nilai kerajaan Allah di mana kita berada,” sambungnya.

Antara program yang akan berlangsung pada bulan Ogos bagi Keuskupan Keningau adalah Mini Ziarah ke Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon.

Intensi khusus program ziarah ini ialah agar Covid-19 dapat dipatahkan dengan segera dan kesihatan seluruh dunia dapat dipulihkan serta perlindungan dan keadilan Pilihan Raya DUN Negeri Sabah yang akan diadakan dalam masa terdekat ini.

Ini adalah Surat Pastoral penuh Uskup Cornelius Piong.