Dr Velus Junius selaku pengerusi MPP menyarungkan sigar di kepada Uskup Agung sebagai tanda terima kasih dan Syukur dan kehadiran uskup pada 17 Sep 2023. – SOCCOM STKM
Oleh SOCCOM St Theresa, Kota Marudu
Oct 10 2023
KOTA MARUDU – Lawatan pastoral Uskup Agung John Wong di paroki St Theresa pada 17 Sept lalu membawa berkat kepada umat di paroki tersebut teristimewa kepada para penerima Sakremen Penguatan yang seramai 109 calon.
Malam sebelum sambutan Hari Paroki, diadakan pertemuan khas semua ahli Majlis Pastoral Paroki (MPP) dan Majlis Kewangan dan Harta Benda Bersama dengan Uskup Agung di mana dalam pertemuan tersebut Komiti Kateketikal, Komiti Kerasulan Keluarga dan Majlis Kewangan telah menyampaikan laporan kepada Uskup Agung. Selesai pertemuan makan malam dan aktiviti santai diadakan bersama Uskup Agung.
Pada pagi Minggu, para penerima sakramen penguatan turut menyertai perarakan masuk ke dalam gereja diiringi oleh paluan muzik tradisional. Dalam homilinya, prelatus menekankan perihal tentang kesatuan dalam keluarga mahupun dalam komuniti agar sentiasa bersatu dan saling meneguhkan agar dapat mewujudkan suasana solidariti dalam kalangan umat di paroki tersebut. Selesai perayaan Misa Kudus, diteruskan dengan sesi bergambar di mana Uskup Agung John bergambar bersama barisan MPP dan MKHB bagi sesi 2023-2026 serta para penerima Sakramen Penguatan.
Umat beralih ke dewan paroki didahului dengan perarakan masuk Uskup Agung diiringi oleh pembawa sepanduk daripada wakil setiap chapel yang bernaung di Paroki Kota Marudu. Sekali lagi, Uskup Agung disambut dengan tarian tradisional di pintu masuk dewan yang dipersembahkan oleh belia dari chapel St Micheal Pinatau.
Antara aktiviti yang diadakan untuk acara pentas adalah persembahan tarian, nyanyian dan pemotongan kek sebagai tanda kesyukuran. Selain itu, penyampaian hadiah kepada para pemenang dan penyampaian sijil penghargaan kepada ahli MPP yang lama juga disempurnakan oleh Uskup Agung John Wong.