Dari kiri: Salah seorang pelajar PMG sedang melakukan pengakuan dengan Fr Wilson Francis. Fr Paul Lo sedang memberi katekesis kepada pelajar PMG yang umur 14-15 tahun di Gereja St Paul Dontozidon

Oleh Nelson Fernandez

July 16 2022

DONTOZIDON – Kelas Pertemuan Minggu Gembira (PMG) telah mengadakan hari pengakuan untuk kanak-kanak yang berumur 11-15 tahun pada 10 Julai 2022 jam 3.00 petang di Gereja St Paul Dontozidon.

Upacara pengakuan ini dibahagikan kepada dua kumpulan mengikut kategori umur iaitu 11-13 tahun dipimpin oleh Fr Wilson Francis dan Fr Sylvester Wong di dewan Gereja, sementara itu 14-15 tahun di dalam Gereja dipimpin oleh Fr Paul Lo dan Fr Saimon William. Manakala Fr Rusell Lawrine membantu di kedua-dua tempat tersebut.

Seramai 121 pelajar PMG dari St Paul Dontozidon dan Gereja St John The Baptist, Kopungit telah hadir untuk membuat pengakuan, ditemani oleh para pembimbing dan ibu bapa mereka masing-masing.

Pengakuan peribadi ini terarah kepada mereka untuk belajar bertobat secara peribadi dan belajar mengampuni orang lain. Secara amnya ini juga adalah untuk mempersiapkan diri mereka yang akan menerima Komuni Suci Pertama dan membolehkan mereka untuk menerima Yesus dalam diri mereka.

Upacara pertobatan ini akan dijalankan dua kali dalam setahun agar pelajar-pelajar PMG tidak lalai atau lupa atas tanggungjawab mereka untuk belajar mengasihi dan mengampuni orang sekeliling mereka.

 “Allah itu adalah kasih,” demikian salah satu ayat yang terungkap dari Fr Wilson dalam Liturgi Sabda Kanak-Kanak.

“Apakah itu dosa dan apakah yang kamu harus lakukan bila sudah berdosa?” tanya Fr Wilson kepada kanak-kanak tersebut, “kamu sedar akan pentingnya untuk selalu mengampuni dan berdoa dan janganlah lupa untuk membuat pengakuan dosa.”