Oleh Dokumentasi HWK-22

Nov 11 2020

KOTA KINABALU – Hari Warga Kampus Ke-22 pada tahun ini lebih membantu para pelajar kampus Katolik menerima keadaan masa kini akibat pandemik COVID-19 dan membawa mereka agar terus berani menyahut panggilan dalam norma baharu walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Pertama kalinya program HWK-22 tahun ini diadakan secara online melalui penggunaan aplikasi Zoom dan masih mendapat sambutan ramai dengan penyertaan 487 pelajar kampus beserta sokongan kehadiran Uskup Diosis Agung Kota Kinabalu, Uskup Agung John Wong.

Uskup Agung berkata dia berasa bangga dengan para pelajar kampus kerana berani menerima cabaran untuk menganjurkan HWK-22 yang hanya bergantung sepenuhnya dengan teknologi media. Dia mengajak peserta untuk terus merenung dan mencari mesej Tuhan kepada dunia menerusi pandemik COVID-19 serta menyerahkan kepada Tuhan segala kerisauan yang ada dengan menghidupi tema HWK-22 kali ini.

HWK-22 atas talian ini telah diadakan selama dua minggu bermula 30 Okt – 1 Nov kemudian bersambung lagi pada 7 Nov – 8 Nov, dengan tema “Bersukacitalah dalam Pengharapan, Sabarlah dalam Kesesakan dan Bertekunlah dalam Doa” (Roma 12:12).

HWK-22 dibuka dengan Misa Kudus atas talian yang diraikan oleh Fr Paul Lo, paderi paroki Katedral Hati Kudus. Banyak pengisian program telah disediakan sejajar dengan tujuan HWK-22. Antaranya adalah topik My Mental Health oleh Sr Suzan Guntabid, fsic, dia mengongsikan 15 distori yang mengganggu kesihatan mental manusia untuk pembantu peserta melihat penyebab gangguan kesihatan mental terutamanya pada norma baharu ini.

HWK-22 juga menjemput Alexander Jiran dari paroki Kota Belud memberikan sesi My Faith and Prayer Life. Dia mengongsikan pengalaman hidup doanya sendiri dan menekankan bahawa doa adalah komponen yang sangat penting dalam kehidupan seorang Katolik dan perlu disertai dengan iman yang mampu membuka kesempatan kepada sebuah mukjizat.

Selain itu, peserta juga berkesempatan membuat perkongsian dalam kumpulan kecil, bersama dalam aktiviti pujian dan penyembahan atas talian, games dan sebagainya. Hal ini secara langsung membantu peserta melepaskan kerinduan mereka dalam pelayanan seperti pelayanan kebiasaan sebelum ini. Fr Nicholas Stephen juga turut serta dalam HWK-22 ini di mana dia meraikan Misa Kudus sempena penutupan program.

 

Dari kanan atas, Fr Nicholas Stephen, Fr Paul Lo, Sr Suzan Guntabid dan Alexander Jiran

Walaupun pengisian program memberi semangat dan membantu iman peserta namun pelaksanaan program tidak berjalan tanpa cabaran. Cabaran utama semasa pelaksanaan program ini adalah jaringan internet yang lemah. Namun tidak menjadi penghalang kepada para peserta yang bersemangat meraihkan HWK-22.

Para peserta tetap bersyukur kepada Tuhan kerana HWK yang disambut dengan meriah pada setiap tahun tetap dapat berlangsung pada tahun ini. Mereka berkata meskipun hanya secara maya dan bergantung sepenuhnya melalui penggunaan teknologi namun Tuhan tetap berkarya di setiap saat dalam setiap keadaan.