Kesepian adalah pengalaman sejagat. Ia boleh menjejaskan semua orang, kaya dan miskin, sihat dan sakit. Tiada siapa yang dapat menghilangkan kesakitan dan penderitaan mereka.
Apa yang dilalui orang dalam kesepian selalunya tidak dapat dibayangkan, seperti yang kita lihat semasa pandemik COVID-19. Pada masa ini, orang terputus daripada orang yang dikasihi, saudara-mara dan rakan-rakan. Tiada sentuhan, tiada senyuman, tiada sentuhan penghiburan dan belas kasihan. Seorang itu ditinggalkan sepenuhnya kepada dirinya sendiri.
Ramai yang mati bersendirian, jauh dari orang tersayang, pasangan, saudara mara atau kawan. Oleh itu, pandemik ini menunjukkan kepada kita kekejaman kesepian, dan bagaimana ia boleh membawa kepada keputus-asaan hingga ke tahap di mana seseorang itu mahu mengambil nyawanya.
“Tiada siapa pun bersendirian seperti pulau”! Pepatah ini mengingatkan kita bahawa kita dicipta untuk komuniti. Dalam kitab Kejadian, kita membaca bahawa “tidak baik kalau manusia itu seorang diri” 2:18, dan dengan itu Tuhan menciptakan seorang penolong baginya.
Perkahwinan adalah satu bentuk komuniti, yang berhasrat untuk berkembang secara semula jadi menjadi komuniti yang lebih besar, yakni keluarga. Di sana ia tidak berhenti. Rencana Tuhan untuk keluarga adalah untuk berkembang menjadi sebuah komuniti manusia, yakni Gereja.
Juga, orang bujang dipanggil untuk kehidupan berkomuniti sebagai paderi, religius, saudara perempuan dan lelaki untuk memainkan peranan penting dalam membina Gereja. Ia bukan sebahagian daripada rencana Tuhan untuk sesiapa sahaja bersendirian dan mengalami pengasingan.
Yakin dengan kebenaran mutlak ini, saya cuba memahami mengapa orang dari segenap lapisan masyarakat sering berasa kesepian.
Berapa ramai suami dan isteri walaupun secara lahiriah berada di dalam “perkahwinan bahagia”, yang mengalami kesepian? Berapa ramai kanak-kanak, walaupun dalam apa yang dipanggil “keluarga contoh”, mengalami kemurungan yang kadang-kala membawa kepada kemusnahan?
Adakah benar untuk mengatakan bahawa masalah ini telah meningkat di dunia kita, menjejaskan termasuk remaja? Kenapa ini berlaku?
Saya mengenali seorang paderi yang sejak kecil merasa terpanggil kepada kehidupan monastik, kehidupan komunal. Dengan semangat yang besar, dia menjalani pembelajarannya, membuat kerjayanya, dan bekerja serta mengambil bahagian dalam kehidupan monasteri.
Walau bagaimanapun, selepas bertahun-tahun, dia meninggalkan monasteri dan mula bekerja sebagai paderi biasa di keuskupan. Apabila saya bertanya apa yang menyebabkan dia memutuskan untuk meninggalkan kehidupan monastik, dia mengaku “penyebabnya adalah kesepian”. “Saya tidak pernah berasa sangat sepi seperti apa yang saya rasa di monasteri, walaupun kami berkongsi segala-galanya. Kesepian ini menjadi tidak tertanggung dan dengan itu saya terpaksa pergi. Sekarang saya tinggal sendiri tetapi tidak lagi berasa sepi.”
Pengalamannya bukanlah asing bagi saya. Walaupun saya mencari kehidupan berkomuniti, saya sentiasa dilantik untuk bersendirian. Semasa kami berkongsi pengalaman bersama, kami melihat bahawa “orang tidak pernah bercakap tentang keinginan hati mereka”.
Walaupun dalam “kehidupan komuniti religius”, mereka bercakap tentang banyak perkara – berita, politik, TV dan filem, aduan, gosip dll. – tetapi mereka jarang bercakap atau berkongsi perkara yang paling mendalam, yang terpendam dalam diri mereka.
Berkongsi “keinginan hati kita” adalah penting untuk kehidupan yang bahagia. Kita melihatnya pada pasangan yang meluangkan masa untuk berkongsi dari hati mereka apa yang ada dalam diri mereka.
Bagi mereka yang terlalu sibuk dan tidak mencari masa, kebahagiaan perlahan-lahan digantikan dengan “kesepian”. Mereka tidak mengetahui keinginan hati mereka.
Kalau saya tanya seseorang, kamu mahu pergi mana? Apa yang kamu ingin makan? Biasanya, mereka akan berkata “apa sahaja!” atau “kamulah yang pilih!”
Apabila seorang lelaki atau perempuan bertanya kepada saya sama ada mereka patut berkahwin atau menjadi paderi/religius, saya bertanya kepada mereka, “apa yang kamu mahu?” Selalu mereka menjawab, “bukan apa yang saya mahu tetapi apa yang Tuhan mahu.”
Mereka tidak dapat percaya kepada kebenaran yang menakjubkan bahawa Tuhan mencipta mereka dengan “kehendak bebas”, iaitu mereka mesti memilih dan memutuskan hala tuju hidup mereka. Jika mereka tahu apa yang mereka mahu, “Tuhan akan memenuhi keinginan hati mereka.”
Ini adalah teras kepada masalah kesepian.
Dalam perkahwinan, keluarga, dan hidup religius, orang sering bercakap tentang perkara suci tetapi jarang berkongsi keinginan hati mereka, yang diungkap dengan indah dalam pujian ini, “O Keinginan bangsa, datanglah!” Untuk mengusir kegelapan kesepian, kita mesti berkongsi apa yang Tuhan telah nyalakan dalam diri kita.
Soalan:
Bagaimana kamu mengalami kesepian?
Adakah kamu berkongsi fikiran hati kamu yang mendalam dengan seseorang?
_____________________________
Fr Guido Gockel MHM
Seorang ahli St Joseph’s Missionary Society of Mill Hill, berpusat di London, Father Guido ditahbis menjadi paderi pada tahun 1969. Sejurus selepas pentahbisannya, dia diutus ke Malaysia (Sarawak) di mana dia melayani sebagai misionaris selama 18 tahun.
Sewaktu bercuti di Sabah, dia diperkenalkan kepada sekumpulan anak muda yang terlibat dengan Pergerakan Karismatik (CCR). Pengalaman ini membantunya menjadi instrumental dalam memperkenalkan CCR di Miri, Sarawak, di mana dia diberi misi di stasi luar.
Setelah tujuh tahun tempoh misionarisnya yang pertama pada awal tahun 70-an, dia kembali ke Malaysia untuk tiga lagi misi dan banyak lawatan jangka pendek. Dia tahu berbahasa ‘Melayu pasar’ dan lain-lain Bahasa negeri Sarawak.
Catholic Sabah berpeluang mendekati Fr Guido, yang sangat bermurah hati memberi masanya untuk menulis selama satu tahun di bawah kolum bertajuk “I’m On My Way”, sejak pelancaran portal online Catholic Sabah pada tahun 2020.
Berbekal sedikit galakan, Fr Guido bersetuju untuk terus menulis, dan Catholic Sabah membuat keputusan untuk memuat naik penulisannya sekali sebulan, dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.
Fr Guido terbuka untuk sebarang soalan untuk perbincangan dan penjelasan lanjut. Dia boleh dihubungi melalui emel frguidomhm@gmail.com.