
Oleh Clarence Dol
RANAU – Pelayanan terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal, tetapi merupakan peluang untuk melayani Kristus sendiri. Demikian ditegaskan Paderi Pembantu, Fr Lasius Gantis, sempena Pelancaran Pelayanan IKD St Lawrence Paroki St Peter Claver Ranau (SPCR) di Dewan Holy Family pada 5 Jul 2026.
Berinspirasikan Santo Lawrence sebagai pelindung pelayanan, Fr Lasius mengingatkan bahawa setiap manusia mempunyai martabat yang sama sebagai anak Tuhan, tanpa mengira kekayaan, kedudukan, kecantikan atau kemampuan fizikal. Beliau mengimbas kisah Santo Lawrence yang menganggap golongan miskin, balu, anak yatim dan mereka yang tersisih sebagai “harta Gereja yang sebenar.”
Beliau turut mengajak para pelayan mencontohi Yesus yang sentiasa mendekati golongan yang dipinggirkan, termasuk orang buta, lumpuh, bisu, pesakit kusta dan mereka yang miskin. Menurut beliau, kasih merupakan bahasa sejagat yang dapat dirasai semua orang, termasuk mereka yang mempunyai kekurangan fizikal atau mental.
Fr Lasius mengakui pelayanan kepada OKU mempunyai cabaran seperti keletihan emosi, kurang penghargaan, salah faham, kehilangan semangat dan kesedihan melihat penderitaan. Namun, beliau menegaskan bahawa Tuhan tidak menuntut kejayaan menurut ukuran dunia, sebaliknya kesetiaan dalam pelayanan. Para pelayan digalakkan terus mencari kekuatan melalui doa, sakramen dan komitmen kepada Kristus.
Mengakhiri perkongsiannya, beliau menyeru para pelayan untuk hadir, mendengar, menghormati dan menemani komuniti OKU dengan kasih. Pelayanan IKD St Lawrence SPCR diharapkan menjadi jambatan kasih Kristus yang membawa harapan, kegembiraan dan penyembuhan kepada komuniti OKU serta keluarga mereka, sekali gus memperkukuh komitmen Gereja terhadap pelayanan yang inklusif dan bermaruah.







































